Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengakui cadangan mengambil pemain dari luar negara merupakan antara salah satu cara untuk memperbaiki prestasi dan kedudukan ranking pasukan kebangsaan.
Namun katanya, idea tersebut masih berada di peringkat permulaan dan banyak usaha yang perlu dilakukan sebelum membawa masuk pemain berstatus naturalisasi ke dalam skuad kebangsaan.
“Perkara ini akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan perlu diperhalusi lagi sebab ia memerlukan banyak komitmen daripada kerajaan dan juga negara-negara lain.
“Sebagai contoh, pemain yang sesuai untuk dinaturalisasikan adalah dari Brazil dan benua Afrika. Kita perlu berbincang dengan banyak pihak termasuk kerajaan dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Selepas lama berada dalam bola sepak, saya melihat ini adalah salah satu cara untuk melonjakkan kembali bola sepak negara seperti mana yang dibuat oleh Filipina. Mereka memiliki ramai pemain yang berdarah warisan dengan negara mereka.
“Berbeza dengan kita, Malaysia tidak mempunyai banyak pemain berdarah warisan tetapi naturalisasi ini adalah cetusan idea yang sememangnya saya impikan.
“Apapun, ia perlu dibahaskan dalam mesyuarat jawatankuasa dan sudah tentu perkara ini akan mengambil masa.
“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan laksanakannya tetapi masih ada proses yang perlu difikirkan selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi dialog bersama Presiden FAM di Kampung Padang Balang, di sini hari ini.
Pemain tengah Pahang, Mohamadou Sumareh yang dikhabarkan sah memegang status kerakyatan Malaysia juga perlu menunggu buat masa ini kerana jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe enggan terburu-buru memanggilnya kerana masih belum dimaklumkan secara rasmi berhubung perkara tersebut.