Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp mengingatkan Dejan Lovren supaya mempamerkan aksi konsisten terlebih dahulu sebelum menobatkan diri sendiri selaku salah seorang pemain pertahanan terbaik dunia.
Malah katanya, Croatia sendiri tidak mempunyai pemain pertahanan berkelas dunia jika dibandingkan dengan Perancis yang memiliki pemain seperti Benjamin Pavard, Samuel Umtiti, Raphael Varane dan Lucas Hernandez.
Namun, barisan pertahanan Croatia yang terdiri daripada Sime Vrsajlko, Domagoj Vida, Lovren dan Ivan Strinic boleh dikatakan ampuh meskipun tidak dikenali peminat bola sepak di serata dunia.
“Jika kita meneliti pasukan Croatia, mereka tidak memiliki pertahanan bertaraf dunia tetapi mereka kurang dibolosi.
“Ivan Rakitic, Marcelo Brozovic, dan Luka Modric bertindak cemerlang memastikan pasukan melakukan serangan dengan berkesan manakala Lovren mengawal ketat di bahagian pertahanan.
“Lovren juga membantu Liverpool mara ke final Liga Juara-Juara Eropah dan tiga tahun lalu, beliau membantu pasukan ke final Liga Europa.
“Ya, ia akan menjadi lebih baik jika orang lain mengatakan kepadanya tetapi penilaian dirinya itu betul.
“Dia beraksi dengan baik dalam Piala Dunia tetapi aksi yang konsisten adalah lebih penting,” katanya.
Lovren menjadi perbualan hangat dunia bola sepak selepas mendakwa dirinya salah seorang pemain terbaik dunia di posisi pertahanan.
Namun, pemain itu menerima kritikan selepas gagal menjulang sebarang trofi meskipun berjaya melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa dan terbaru, Piala Dunia selepas negaranya tewas 4-2 kepada Perancis.