Perlawanan akhir Piala Dunia 2018 akan bersiaran secara langsung pada pukul 11 malam hari ini dan bakal menyaksikan pertarungan antara Perancis dan Croatia di Stadium Luzhniki, Moscow.
Perlawanan ini sudah mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak sejak Piala Dunia bermula pada 14 Jun lalu.
Ramai yang menyangkakan pasukan gergasi bola sepak seperti Jerman, Sepanyol mahupun Portugal akan berada di pentas akhir namun hari ini Perancis dan Croatia membuktikan yang sebaliknya.
Jurulatih tempatan juga tidak ketinggalan dalam memberikan ramalan siapakah yang layak bergelar juara dunia kali ini.
Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe
“Piala Dunia kali ini banyak kejutan dan sukar untuk meramalkan siapa yang boleh menang. Tetapi saya melihat Perancis mempunyai peluang besar bersandarkan kepada pemain berkualiti dan berpengalaman. Namun Perancis tetap perlu berhati-hati kerana Croatia memiliki semangat melawan yang cukup tinggi. Apapun Perancis pilihan saya.”
Ramalan: Perancis 1-0 Croatia.
Jurulatih Felda United, B. Sathianathan
“Saya pilih Perancis untuk menang Piala Dunia kerana pertamanya mereka cukup berpengalaman dan pernah menjuarainya sebelum ini. Malah, sebelum kejohanan bermula ramai pemain termasuk jurulatih mereka dikritik hebat oleh peminat dan pengkritik bola sepak Perancis. Misalnya, Eric Cantona mengkritik pemain Perancis yang disifatkan tidak mempunyai peluang dan disebabkan itu saya yakin Perancis akan menjadikannya pembakar semangat untuk membuktikan sesuatu kepada mereka.”
Ramalan: Perancis 1-0 Croatia
Jurulatih Melaka United, E. Elavarasan
“Croatia mempunyai peluang baik untuk menang Piala Dunia atas faktor serangan yang amat efektif. Dapat dilihat dalam beberapa perlawanan khususnya suku akhir dan separuh akhir apabila Croatia bangkit daripada ketinggalan untuk akhirnya meraih kemenangan. Begitupun, taktikal Perancis juga bagus. Jadi, kita tunggu dan lihat nanti bagaimana penyerang Croatia merobek kubu Les Bleus.”
Ramalan: Perancis 0-1 Croatia
Azraai Khor Abdullah
“Pada awalnya tak ada siapa yang percaya Croatia mampu mara hingga ke final. Permainan Croatia bagi saya meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang diterajui pemain utama seperti Luka Modric dan Ivan Rakitic. Tetapi saya pilih Perancis memandangkan pemain yang ada dalam skuad kali ini cukup mantap sekali. Di serangan ada Antoine Griezmann, tengah pula ada Pogba dan Kylian Mbappe. Mungkin peristiwa 1998 akan berulang kali ini dengan Perancis muncul juara.
Ramalan: Perancis 2-0 Croatia
Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah
“Saya beranggapan Perancis akan muncul sebagai pemenang. Sebab apa saya pilih Perancis adalah kerana mereka bermain secara berpasukan dan persembahan mereka juga konsisten. Malah, kejayaan menundukkan Belgium juga meletakkan mereka di tahap terbaik dan Brazil juga sebelum ini tewas di tangan Belgium. Saya pilih Perancis berbanding Croatia.”
Ramalan: Perancis 1-0 Croatia