Keraguan terhadap pasukan Brazil begitu menebal di Piala Dunia 2018, terutama apabila aksi pertama mereka berakhir dengan keputusan 1-1 ketika berdepan Switzerland. Namun, Brazil telah membuktikan mereka adalah gergasi bola sepak, sama dengan sloga GigantesPorNaturez. Rangkaian ujian telah dilepasi. Selepas menundukkan Mexico, Brazil akan berdepan aksi getir. Neymar dan rakan sepasukannya akan menghadapi Belgium di aksi suku akhir nanti.
Belgium ternyata bukan lawan yang mudah. Negara Eropah itu sedang melalui detik-detik terbaik dalam dunia bola sepak mereka, lebih-lebih lagi Belgium telah mencipta kemenangan dramatic dalam saingan sebelumnya. Mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol ketika berdepan Jepun. Lebih getir, pertemuan selepas ini menyaksikan Brazil bakal turun tanpa tonggak tengah bertahan mereka, Casemiro.
Casemiro terpaksa diketepikan dalam pertemuan dengan Belgium kerana penggantungan layangan kad kuning. Casemiro telah mengumpulan dua kad kuning dalam saingan Piala Dunia kali ini. Kad kuning yang pertama diterima ketika perlawanan pertama Brazil di Russia bertemu Switzerland, sebelum dia meraih kad kuning kedua sewaktu aksi pusingan kedua bertemu Mexico.
Casemiro mengisi bahagian penting dalam skuad Brazil, bahkan boleh dikatakan bahawa kelibat Casemiro telah membantu Brazil sehingga ke tahap ketika ini. Dalam skuad Brazil sekarang, Tite harus memilih salah seorang pemainnya untuk menggantikan Casemiro, iaitu Fred atau Fernandinho.
Fred atau Fernandinho?
Casemiro bertindak sebagai nadi untuk membuatkan formasi 4-3-3 yang dipilih Tite menjadi seimbang untuk aksi Piala Dunia kali ini. Pemain tengah Real Madrid ini juga bertindak sebagai pembantu buat Paulinho dan Philippe Coutinho. Peranannya di tengah telah mengalirkan bola serta menyekat serangan lawan sebelum tiba ke benteng Brazil. Tanggungjawab yang membuatkan Casemiro mudah terdedah kepada layangan kad kuning.
Casemiro bukan sahaja bertindak sebagai pemain nombor enam atau dalam situasi lain sebagai penyekat tengah. Dia turut menggalas tugas sebagai volante yang bertindak sebagai pengatur pergerakan permainan oleh skuad Brazil. Tatkala tugas getir ini sering dipegang oleh Casemiro, seharusnya siapa yang patut dipilih oleh Tite? Fred atau Fernandinho?
Dalam aksi-aksi sebelumnya, Fernandinho sering dimasukkan oleh Tite, terutama ketika pasukan memerlukan keseimbangan. Ini disebabkan pemain tengah Manchester City ini mempunyai pemilihan posisi yang sangat cermat, tidak kira ketika menyerang atau bertahan.
Secara kasar, Fernandinho tampak menjadi pilihan yang logik buat Tite sekiranya mereka ingin bermain dengan percaturan sama seperti perlawanan terdahulu. Ia juga diakui oleh jurulatih Noval Aziz yang berpendapat bahawa Fernandinho adalah pilihan yang lebih tepat berbanding Fred.
“Mengikut posisi, Fernandinho tampak lebih bagus untuk menggantikan Casemiro dalam aspek menyerang atau bertahan. Segalanya terserah kepada Brazil sama ada mahu memulakan pergerakan permainan melalui pemain nombor enam atau melewatinya. Jika ia lebih terarah kepada penggunaan pemain nombor enam untuk mengawal permainan, Fernandinho adalah pilihan lebih baik berbanding Fred.”
“Bagaimanapun, wujud keraguan tentang kualitinya di posisi itu, terutama apabila berdepan lawan yang menerapkan tekanan tinggi dan Fernandinho bakal berdepan masalah. Belgium menerapkan tekanan melalui formasi 5-3-2, sekaligus menjadi perangkap di kawasan Fernandinho.”
Pendapat daripada jurulatih Noval ini membuatkan pemilihan antara Fred atau Fernandinho perlu dikaji sebaiknya, lebih-lebih lagi apabila berdepan Belgium. Fernandinho jelas mempunyai pemilihan posisi yang bagus tetapi yang disebutkan jurulatih Noval, timbul persoalan terhadap kualitinya sebagai pemain tengah bertahan. Kemungkinan bahaya bakal menanti.
Perkara lain yang perlu diambil kira ketika menempatkan Fernandinho selaku pemain tengah bertahan adalah usianya yang bukan lagi muda. Dalam perlawanan nanti, dia akan berdepan tekanan daripada pemain-pemain seperti Yannick Ferreira Carrasco, Eden Hazard, Dries Mertens dan juga kelibat rakan sepasukannya di peringkat kelab yang berada di bahagian tengah, Kevin De Bruyne. Pada usia ketika ini, adakah Fernandinho mempunyai kudrat yang cukup untuk berdepan tekanan daripada barisan pemain Belgium yang rata-rata masih muda dan bertenaga?
Mengenai Fred, pemain yang baru sahaja diberikan kontrak oleh Manchester United dan merupakan pemain tengah nombor lapan yang sejati. Gaya permainan Fred membolehkannya bergerak secara vertikal. Dia jelas mampu mengekang asakan daripada Carrasco dan Thomas Meunier yang secara terbuka menyerang daripada bahagian tepi tetapi ia akan menyebabkan tengah menjadi kosong dan mudah ditembusi.
Lebih-lebih lagi, kecergasan Fred juga menjadi persoalan kerana dia telah menerima bentesan keras daripada Casemiro dalam sesi latihan skuad Brazil sebelum Piala Dunia bermula. Sehingga kini, dia masih belum diturunkan oleh Tite. Menurunkan Fred juga sebenarnya menjadi satu langkah berisiko tinggi.
Pilihan lain yang boleh dipertimbangkan Tite adalah meletakkan Paulinho selaku pemain tengah bertahan, sambil Renato Augusto dimasukkan untuk menemani Coutinho selaku tengah menyerang. Namun, langkah ini mungkin akan membuatkan Belgium lebih mudah untuk mara ke pertahanan Brazil kerana kemampuan bertahan yang dimiliki Paulinho tidak begitu meyakinkan seperti apa yang dipamerkan ketika menyerang.
Jadi, siapakah yang perlu dipilih Tite untuk menggantikan Casemiro? Fred atau Fernandinho?