Luar Negara Piala Dunia 2018

Argentina dan Messi ada kelebihan, kata Didier Deschamps

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menganggap pihak lawannya pada pusingan 16 terakhir ini, Argentina, mempunyai kelebihan untuk mengalahkan pasukannya malam ini.

Katanya, Perancis tidak menghadapi sebarang masalah untuk layak ke pusingan kalah mati dan dapat merehatkan pemain-pemain utama ketika berdepan Denmark dalam aksi terakhir kumpulan, sesuatu yang tidak dapat dilakukan Argentina.

Argentina terpaksa bersusah payah apabila seri 1-1 menentang Iceland, tewas 3-0 kepada Croatia dan bangkit menewaskan Nigeria 2-1.

Mengagumi perjalanan Argentina yang layak ke pusingan kalah mati, Deschamps menyedari Messi berkebolehan untuk menghantar Perancis pulang.

“Messi adalah Messi,” kata Deschamps.

“Lihat kepada statistiknya, 65 gol dalam 127 perlawanan. Kami berharap dapat mengekang pergerakannya kerana beliau mampu mencetus sesuatu buat pasukannya.

“Ketika berdepan Argentina dan Messi, ada banyak cara untuk mengehadkan aksinya. Tetapi mereka adalah pasukan yang berpengalaman, mereka sudah biasa bermain di bawah tekanan.

“Perancis kekurangan perkara ini dan ia bukan alasan tetapi adalah realiti. Kami akan berusaha untuk bermain dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, penjaga gawang Perancis, Hugo Lloris juga merasakan Lionel Messi mampu menentukan keputusan perlawanan malam ini.

“Kami telah bersedia untuk perlawanan seterusnya berdepan Argentina, jadi kami perlu berada pada tahap terbaik,” katanya.

“Kami menilai setiap perlawanan mereka dalam peringkat kumpulan. Tetapi kami menyedari jika Messi mempamerkan aksi cemerlang, beliau yang akan menentukan nasib perlawanan ini.

“Kami memerlukan setiap pemain untuk menampilkan aksi yang berkualiti untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Argentina akan turun untuk membuktikan sesuatu. Mengharungi saingan yang sukar tetapi masih layak. Saya pasti mereka akan berusaha sehabis mungkin.”