Jerman selaku pasukan gergasi ternyata tidak mampu melepaskan diri daripada kutukan selaku juara bertahan Piala Dunia. Mereka sempat mempamerkan peningkatan dalam aksi kedua bertemu Sweden, namun terkandas akhirnya susulan kekalahan mengejut 2-0 ditangan Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan F Piala Dunia 2018. Beberapa masalah muncul sehingga menyebabkan kegagalan itu, sekaligus menimbulkan persoalan tentang kesepakatan dalam skuad Jerman.
Ledakannya telah dilihat sejak kejohanan dimulakan. Ramai yang menganggap kekecohan pertama adalah ketika Joshua Kimmich dan Antonio Rudiger bertegang urat dalam sesi latihan sebelum Piala Dunia. Sebenarnya, isu awal yang wujud adalah berkaitan perpindahan Jerome Boateng.
Bayern Munich selaku majikan Boateng, melalui pimpinan mereka secara terbuka mendedahkan Boateng boleh berhijrah sekiranya ada kelab yang berminat dengannya. Semakin panas, kerana sebelum itu, Bayern melakukan kritikan terbuka mengenai gaya hidup Boateng.
Situasi itu mencetuskan masalah. Selepas diselidik, banyak laporan mengatakan bahawa ia sebenarnya berpunca daripada pihak pengurusan Bayern yang cuba untuk menggandingkan Niklas Sule dan Mats Hummels di bahagian pertahanan. Secara tidak langsung, ia menjadi punca keretakan yang berlaku dalam skuad juara dunia 2014 ini. Menurut Guardian yang mendapatkan maklumat daripada media Jerman iaitu Sport Bild, perseteruan yang dinamakan antara The Bavarians dan The Bling-Bling Gang telah wujud dalam pasukan Jerman.
Sesuai dengan namanya, The Bavarians membariskan beberapa pemain senior yang merupakan tunjang kepada Bayern Munich. Bagaimanapun, kelompok ini pada dasarnya merupakan pemain yang tulen buat Jerman seperti Manuel Neuer, Toni Kroos, Thomas Müller, dan Mats Hummels.
Sementara buat The Bling-Bling Gang, mereka dibarisi pemain berketurunan serta imigrasi seperti Mesut Özil, Jerome Boateng, dan Sami Khedira. Beberapa laporan mengatakan bahawa pemain tengah Paris Saint-Germain, Julian Draxler, juga berada dalam kelompok ini, termasuk penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen.
Soal Bavarians dan The Bling-Bling Gang ini akhirnya menjadi topik hangat dan disebut sebagai punca masalah kegagalan Jerman di Piala Dunia dalam edisi kali ini. Isu kesepakatan ini telah membawa kepada masalah-masalah yang lain yang tercetus.
Bermula dengan kes Ilkay Gundogan dan Mesut Ozil yang didapati bergambar bersama pemimpin Turki yang tidak disukai oleh Jerman, masalah The Bling-Bling Gang dan The Bavarians juga dikatakan menjadi antara sebab mengapa Leroy Sane tidak dapat menyertai pasukan untuk memperkuatkan Jerman ke Russia dan yang terakhir sudah pasti pergaduhan antara Kimmich dan Rudiger sebelum bermulanya Piala Dunia 2018.
Ketegangan antara dua puak ini sememangnya dipenuhi dengan elemen perkauman. Ia menjadi semakin pelik kerana selain kewujudan dua kubu itu, terdapat isu lain dalam pasukan iaitu pertelingkahan tentang soal generasi lama dan baru. Generasi lama adalah kelompok pemain yang beraksi di Brazil pada empat tahun lalu dan generasi baru merupakan barisan pemain yang memperkuatkan cabaran Jerman dalam Piala Konfederasi 2017. Situasi itu nyata telah menyukarkan percaturan Joachim Low di Russia.
Ia diibaratkan seperti satu fenomena yang biasa berlaku. Jerman secara politik memberi ruang buat golongan imigrasi, namun ia telah mencetuskan elemen bersifat diskriminasi dalam perkauman. Biarpun perkara ini masih menjadi satu isu, ia sempat dinafikan Thomas Muller dan Mats Hummels. Selain itu, sekiranya kesepakatan bukan teknikal ini menjadi penyebab kepada kegagalan Jerman, tentunya ia berlawanan dengan konsep Jerman yang amat teknikal seperti yang dikenali.
Bagaimanapun, soal kesepakatan dan masalah lain tetap tidak dapat menutupi fakta bahawa Jerman beraksi buruk di Russia sehingga mereka tersingkir daripada Piala Dunia 2018.