Piala Dunia 2018 Berita

Memahami kisah di sebalik simbol burung Xhaka dan Shaqiri

Di sebalik kebangkitan Switzerland selepas ketinggalan dalam perlawanan menentang Serbia untuk menang 2-1, ada kisah lain dalam perlawanan tersebut yang telah mencuri tumpuan.

Dua penjaring Switzerland, Granit Xhaka dan Xerdan Shaqiri telah menyambut gol jaringan mereka dengan membuat simbol burung menggunakan tangan mereka. Apa simbolik di sebalik sambutan itu?

Biarpun beraksi untuk Switzerland, kedua-dua pemain sebenarnya mempunyai kaitan mendalam dengan satu negara lain, iaitu Albania.

Simbol burung tersebut adalah simbol nasional negara berkenaan dan kedua-dua pemain kini dikhabarkan bakal menyebabkan ketegangan politik di antara Serbia dan Albania.

Shaqiri dan Xhaka merupakan pemain Switzerland berketurunan Albania tetapi juga mempunyai kaitan kuat dengan Kosovo, satu negara yang tidak diperakui kemerdekaan mereka.

Xerdan Shaqiri lahir di Kosovo dan pernah merasa sendiri menjadi pelarian disebabkan peperangan yang melanda, sementara bapa Granit Xhaka pula pernah dipenjara selama tiga setengah tahun kerana memperjuang kemerdekaan untuk Kosovo ketika mereka berada dalam Yugoslavia suatu ketika dahulu.
Ketika ditanya mengenai sambutannya itu, Shaqiri menyatakan bahawa ianya terjadi kerana ia merupakan detik yang cukup beremosi.

Jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic nampaknya tidak begitu menyokong perbuatan dua pemainnya itu.

“Anda tidak patut mencampur adukkan bolasepak dengan politik. Ianya jelas kelihatan bahawa semua ini berlaku kerana emosi. Saya rasa kita perlu bersama menjauhkan elemen politik dalam bolasepak dan fokus sukan yang indah ini sebagai satu cara menyatukan orang ramai.”

Kedua-dua Shaqiri dan Xhaka berkemungkinan akan dikenakan tindakan daripada FIFA kerana undang-undang FIFA melarang perbuatan sebegitu.

Perang Kosovo berlaku pada penghujung Febuari 1998 dan tamat pada 11 Jun 1999. Ianya berlaku di antara Tentera Pembebasan Kosovo (KLA) dan tentera Republik Persekutuan Yugoslavia (terdiri daripada Montenegro dan Serbia). Seramai 13,548 orang dilaporkan terbunuh atau hilang disebabkan peperangan ini dengan 8,661 daripadanya adalah orang awam dengan etnik Kosovo.