Setiap kali Brazil beraksi di Piala Dunia, pasti akan ada satu pemain yang menjadi tumpuan dan harapan seluruh rakyat Brazil. Pemain-pemain seperti Pele, Socrates, Romario, Ronaldo, Ronaldinho dan kini giliran Neymar.
Selepas gagal membawa Brazil menjulang trofi Piala Dunia di laman sendiri empat tahun lalu, Neymar sekali lagi akan diharap untuk membawa Brazil muncul juara dunia.
Mungkin ada yang skeptikal terhadap keupayaan Neymar, tetapi tidak bagi seorang penyerang yang telah membawa Brazil menjuarai Piala Dunia terakhir mereka.
Ronaldo, bintang ketika Brazil menjuarai Piala Dunia 2002 yakin, Neymar adalah harapan terbaik mereka untuk merangkul kembali Piala Dunia.
“Dia sudah bersedia. Dia adalah harapan terbaik kami.
“Kami berharap dia dapat menjaring penjaring utama kami dan membawa Piala Dunia pulang ke Brazil. Kami semua berharap. Saya juga berharap. Dan kami sudah bersedia, saya rasa Brazil mempunyai pasukan yang bagus untuk melakukannya,” kata Ronaldo seperti dilaporkan CNN.
Ronaldo, sama seperti rakyat Brazil yang lain, masih terkesan dengan kekalahan 7-1 kepada Jerman di Piala Dunia yang lalu. Tetapi, dia tahu Brazil mempunyai peluang untuk mencipta sejarah pada edisi kali ini di Russia.
Kali ini Brazil akan berdepan Switzerland, Costa Rica dan Serbia di peringkat kumpulan. Ramai pemerhati bolasepak merasakan mereka tidak mempunyai masalah untuk melepasi peringkat kumpulan.
Tetapi, adakah skuad mereka cukup kuat untuk bersaing dengan negara-negara lain di peringkat kalah mati? Semuanya akan terjawab bermula esok.