Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu Belgium di Piala Dunia 2018: Usaha membuktikan kemampuan generasi emas

Bola sepak Belgium kini berada dalam tempoh yang cukup positif buat kali pertama sejak tahun 80-an, sewaktu mereka menjadi naib juara Piala Eropah 1980 dan layak ke separuh akhir Piala Dunia 1986. Sejak itu, mereka tidak melalui tempoh yang baik dan pasukan pada hari ini dikatakan sebagai pasukan terbaik Belgium dalam 20 tahun lepas.

Dibarisi oleh bintang di kelab-kelab besar seperti Romelu Lukaku, Eden Hazard, Kevin De Bruyne, Vincent Kompany serta Thibaut Courtois, tidak keterlaluan apabila menyifatkan skuad kali ini sebagai generasi emas buat The Red Devils.

Bagaimanapun, sehingga kini mereka masih belum mampu membuktikan frasa itu. Di Piala Dunia 2014, ketika generasi emas ini mula dibentuk, Belgium hanya dapat layak ke suku akhir. Begitu juga dengan Piala Eropah 2016, terkandas di peringkat sama. Piala Dunia 2018 sudah tentu menjadi kesempatan terbaik untuk mereka membuktikan kemampuan sebenar, ditambah dengan usia yang semakin dewasa dan corak permainan yang semakin matang.

Barisan pemain

Tiada kejutan yang besar berlaku apabila Roberto Martinez mengumumkan senarai 23 orang pemain untuk membarisi skuadnya melainkan penyingkiran pemain tengah AS Roma, Radja Nainggolan. Menurutnya, Nainggolan tidak menepati perancangannya walaupun wujud dakwaan bahawa mereka berdua mempunyai masalah peribadi.

Selain kelibat pemain bintang seperti Hazard, Courtois, Lukaku dan De Bruyne, Belgium juga sangat menarik apabila menampilkan pemain muda berbakat seperti Leander Dendoncker dan Youri Tielemans. Terdapat juga pemain sensasi dari Liga Super China seperti Axel Witsel dan Yannick Carrasco serta adik-beradik bintang utama seperti Thorgan Hazard dan Jordan Lukaku.

Kekuatan

Kesebelasan utama Belgium adalah sebuah pasukan yang kuat dan menggerunkan. Diperkuatkan oleh penjaga gol seperti Courtois dan dibantu kekuatan benteng yang diketuai Jan Vertonghen membuatkan The Red Devils sangat teguh. Kekuatan barisan pertahanan mereka juga disokong dengan bahagian tengah yang kreatif. Kreativiti De Bruyne akan dilindungi oleh pemain tengah bertahan yang kuat seperti Moussa Dembele. Barisan depan mereka menampilkan trio Dries Mertens, Lukaku serta Hazard, sekaligus mencipta gandingan ngeri buat benteng lawan.

Ketika aksi kelayakan, mereka membuktikan kebolehan sebenar apabila menjaringkan 43 gol hasil daripada 10 perlawanan dan hanya dibolosi enam kali. Ia satu rekod yang mengagumkan!

Kelemahan

Barisan bawah Belgium tidak memiliki pengganti yang sepadan. Sekiranya Kompany, Toby Alderweireld dan Jan Vertonghen cedera, mereka hanya akan digantikan oleh pemain-pemain yang cetek pengalaman di peringkat kelab seperti Dendoncker, Laurent Ciman dan Dedryck Boyata, sementara Thomas Vermaelen sudah terlalu berusia dan berisiko untuk diturunkan di pentas besar. Bahagian bek sayap mereka juga lebih getir kerana hanya memiliki kudrat Thomas Meunier dan Jordan Lukaku.

Selain itu, mentaliti Belgium ketika berdepan pasukan gergasi juga menjadi persoalan. Dalam aksi terakhir, mereka diikat seri oleh Portugal dan pada tahun lalu, mereka mencatat keputusan sama menentang Russia dan Mexico. Malah, mereka juga harus bersedia untuk beraksi di pentas lebih besar. Kegagalan dalam dua suku akhir berturut-turut (2014 dan 2016) merupakan sesuatu yang harus diambil perhatian jika mereka mahu memenuhi potensi yang ada.

Pemain utama: Eden Hazard

De Bruyne sememangnya menjadi watak utama dalam kejayaan Manchester City di Liga Perdana Inggeris dan Lukaku menjadi penjaring terbanyak Belgium ketika kelayakan dengan 11 gol. Namun, Hazard adalah individu penting yang memainkan peranan besar bersama Belgium ketika ini. Pemain Chelsea ini tampak akan diberikan lilitan kapten oleh Martinez di Piala Dunia nanti dan ketika bertemu Portugal baru-baru ini, dia juga menjadi ketua pasukan.

Ketika saingan kelayakan, dia muncul penjaring kedua terbanyak dengan enam gol. Hazard memiliki kemampuan untuk mengubah keputusan perlawanan dan berbekalkan kepantasan yang ada, pemain berusia 27 tahun ini pastinya menyimpan cita-cita untuk membuktikan dirinya sebaris dengan nama Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo di Piala Dunia nanti.

Jangkaan formasi

Percaturan yang digunakan Martinez dalam aksi pemanas badan bertemu Portugal mungkin akan menjadi formasi utama Belgium di Piala Dunia nanti. Posisi penjaga gol akan menjadi milik Courtois sambil tiga benteng didepannya akan dibarisi oleh Alderweireld, Kompany dan Vertonghen.

Posisi sayap kanan akan digalas oleh Meunier sementara bahagian kiri diperkuatkan oleh Carrasco. Hanya Jordan Lukaku yang berkaki kidal untuk posisi sayap tetap Carrasco dijangka menjadi pilihan atas faktor pengalaman dan kualiti. De Bruyne akan mengisi jentera tengah bersama Dembele walaupun pemain Tottenham Hotspur itu mungkin akan bergilir mengambil tempat dengan Exel Witsel.

Barisan penggempur Belgium akan diperkuatkan oleh Mertens, Lukaku dan Hazard. Michy Batshuayi boleh menjadi pengganti yang baik buat Lukaku dan Thorgan bersedia untuk menjadi pelapis buat abangnya, sambil Nacer Chadli menunggu giliran daripada Mertens.

Peluang di Piala Dunia

Apabila Martinez mampu mengadunkan skuadnya dan membawa Belgium melangkah ke pusingan kalah mati, Belgium dilihat mampu mengatasi pencapaian dalam dua kejohanan terakhir. Sekurang-kurangnya, separuh akhir mampu diraih oleh pemain skuad terkini. Bagaimanapun, kemungkinan untuk melebihi jangkaan dan harapan tetap ada. Apa yang pasti, Belgium tidak akan berdepan kesukaran untuk melepasi saingan Kumpulan G yang turut dihuni England, Panama dan Tunisia.