Ketua jurulatih Cardiff City, Neil Warnock mendedahkan bagaimana perasaannya apabila menjadi satu-satunya jurulatih yang pernah berada di bawah pengurusan pemilik kelab dari Malaysia iaitu Tan Sri Tony Fernandes di Queens Park Rangers dan kini bersama Tan Sri Vincent Tan di Cardiff City.
Katanya, walaupun perbezaan tidaklah terlalu ketara antara kedua-dua pemilik tersebut, tetapi beliau menganggap Tony Fernandes dan Vincent Tan mempunyai perwatakan yang tersendiri.
“Tidak ada banyak perbezaan sebenarnya, saya mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-duanya.
“Cuma sekali-sekala mereka ini terlalu teruja, mungkin itu perwatakan orang Malaysia.
“Kadang-kadang lepas perlawanan saya akan pastikan untuk tutup telefon terlebih dahulu apabila Vincent Tan menghantar mesej kepada saya kerana mahu tahu apa yang sudah berlaku.
“Dalam bola sepak, kita akan berhadapan dengan pendapat yang berbeza.
“Dan bezanya ialah saya lihat Vincent Tan merupakan seorang yang suka membantu, apabila beliau melihat apa yang saya cuba lakukan, beliau akan cuba bantu sebanyak yang boleh,” katanya dalam satu sidang akhbar di ibu negara, hari ini.
Sebaliknya, beliau menganggap waktunya membimbing pasukan QPR beberapa tahun lepas tidak bernasib baik.
“Saya cuba bawa masuk enam hingga tujuh pemain pada awal bulan Mei tetapi mereka tidak benarkan, tidak boleh buat itu, tidak boleh buat ini, ada pemain yang mereka mahu jual, ada yang mereka tidak mahu mengeluarkan dana.
“Tony pula hanya datang ke kelab pada hujung bulan Ogos, jadi itu menyebabkan kami terlalu sibuk sehingga mengambil enam orang pemain dalam masa empat hari sahaja, ada pemain yang kami tidak perlukan pun, memang teruk ketika itu.
“Tetapi apa yang saya boleh tegaskan, QPR di bawah kendalian saya tidak pernah berada di tangga tercorot Liga Perdana.
“Malangnya, ada seorang ejen yang asyik memetik nama jurulatih lain di Twiter dan Tony tidak boleh berhenti bermain Twitter dan hanya mendengar cakap ejen itu sahaja dan akhirnya beliau melantik orang lain sebagai jurulatih baharu.
“Beberapa tahun kemudian, Tony beritahu saya bagaimana beliau telah menghabiskan terlalu banyak duit dan mengakui apa yang dilakukannya sebagai satu kesilapan yang mahal.
“Tapi di Cardiff, kita tidak akan menghabiskan duit begitu sahaja.
“Saya rasa Vincent Tan dan pengerusi Cardiff, Mehmet Dalman tahu apa yang perlu dilakukan apabila pasukan ini berada di bawah kendalian saya, kita akan cuba yang terbaik bagi memastikan peminat Cardiff teruja pada musim baharu ini,” katanya.