Piala Dunia 2018 Berita

Batalkan perlawanan persahabatan, Israel mahu FIFA gantung penyertaan Argentina di Piala Dunia

Nampaknya, isu Argentina, Israel dan Palestin masih belum selesai.

Ekoran keputusan Argentina yang membatalkan perlawanan persahabatan mereka menentang Israel yang dijadualkan berlangsung di Jerusalem, satu syarikat Israel telah meminta Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA), untuk menggantung penyertaan Argentina di Piala Dunia.

Persatuan Bolasepak Israel dan Syarikat Comtec Group yang ditugaskan menganjurkan perlawanan tersebut akan meminta FIFA menggantung penyertaang Argentina di Piala Dunia atas dakwaan diskriminasi agama.

Comtec Group, syarikat yang sering terlibat dengan penganjuran acara sukan di Israel telah mengumumkan semalam bahawa mereka akan terbang ke Zurich dan memfailkan dakwaan untuk memastikan pasukan Amerika Selatan itu tidak dapat bertanding di Piala Dunia.

Syarikat tersebut juga menyatakan bahawa mereka telah membayar sebanyak 2 Billion Dollar kepada Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), dan tiket bagi perlawanan tersebut telah habis dijual.

Perlawanan persahabatan di antara Argentina dan Israel telah menimbulkan kontroversi apabila Persatuan Bolasepak Palestin dan penduduk Palestin telah menyuarakan bantahan mereka agar perlawanan tersebut tidak berjalan.

Bantahan tersebut dilakukan kerana lokasi perlawanan persahabatan itu, Stadium Kollek, terletak di kawasan Jerusalem yang selama ini menjadi rebutan antara Palestin dan Israel.

Pihak Palestin mendakwa perlawanan tersebut diadakan sebagai satu alat politik untuk menunjukkan bahawa kawasan tersebut adalah milik Israel sedangkan mereka sebenarnya menceroboh tempat tersebut dan merampasnya dari Palestin.