Luar Negara Eropah

Demi memperkuatkan bahagian pertahanan, Man City tawar €60 juta untuk de Ligt

Pemain pertahanan tengah Ajax, Matthijs de Ligt menjadi buruan kelab Eropah ketika ini selepas menyinar dengan pasukan gergasi Belanda itu.

Ini terutamanya apabila Tottenham Hotspur telah menawarkan €55 juta euro kepada Ajax yang kemudiannya menolak tawaran tersebut.

Kali ini Manchester City pula yang membuat tawaran dengan nilai €60 juta euro untuk de Ligt.

Ini menunjukkan betapa Pep Guardiola benar-benar mahukan de Ligt, yang kemungkinan dianggap sebagai pengganti jangka panjang untuk kapten City, Vincent Kompany.

Namun tawaran itu mungkin akan ditolak juga oleh Ajax, manakala Juventus pula tidak mahu masuk campur walaupun kelab gergasi Itali itu turut berminat untuk mendapatkan pemain berusia 18 tahun itu.

Pemain pertahanan tengah City ketika ini boleh dikatakan sudah mencukupi dengan kehadiran John Stones, Aymeric Laporte, Eliaquim Mangala, Nicolas Otamendi dan pemain muda berbakat Tosin Adarabioyo.

Namun City akan melepaskan sekurang-kurangnya tiga pemain itu bagi menguatkan lagi barisan pertahanan.

Meskipun musim ini Ajax menamatkan kempen liga sebagai naib juara, kehadiran de Ligt cukup penting apabila beraksi sebanyak 39 kali dalam semua pertandingan, sama banyak dengan Donny van de Beek dan Hakim Ziyech.

De Ligt juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang tewas 2-0 kepada Manchester United dalam perlawanan akhir Europa League 2016/2017.

Beliau juga menerima Anugerah Marco van Basten 2018 yang diberikan kepada pemain muda paling menyinar musim ini.