Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa menganggap aksi perlawanan Liga Super yang tetap berlangsung pada bulan Ramadan satu kegagalan untuk memahami situasi sebenar bola sepak Malaysia.
Katanya, kegagalan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menilai isu sosial budaya, faktor prestasi pemain dan masalah kepimpinan FAM menyebabkan keghairahan dan semangat penonton untuk menyaksikan perlawanan semakin malap.
“MFL seharusnya belajar untuk menilai semangat penonton dan rakyat. MFL juga tidak sensitif kerana jika hendak dibandingkan, perlawanan persahabatan bertemu Barcelona pada 2013 yang diadakan pada Hari Raya juga tidak mendapat sambutan inikan pula liga tempatan.
“Hampir 90 peratus penonton beragama Islam jadi ibadat Ramadan diletakkan sebagai fokus mereka. Faktor ekonomi turut memainkan peranan apabila hampir 85 peratus penonton terdiri dari kategori pertengahan dan B-40, jadi menonton bola tidak menjadi keutamaan.
“Penyokong muda juga sudah bosan dengan pemain yang mendapat gaji tinggi tapi prestasi di atas padang amat mengecewakan sama ada di kelab atau negara. Penonton jelik dengan pemain yang suka menayang kemewahan,” katanya kepada Berita Harian.
Malah Sadek juga melihat masalah politik dalaman FAM menjadi antara penyebab utama landskap bola sepak negara berada dalam keadaan yang suram.
“Mungkin penonton sudah bosan dengan pelbagai drama yang wujud dalam FAM yang suka-suka menukar pemimpin dan dasar untuk kepentingan pihak tertentu. Tiada keputusan besar kepada mutu bola sepak negara,” katanya.