Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menganggap pengambilan pemain import yang sama oleh setiap pasukan pada setiap musim menyebabkan liga bola sepak di Malaysia hilang tarikannya.
Katanya, perkara ini berlaku kerana sikap pengurusan pasukan dan jurulatih yang hanya memikirkan jalan pintas untuk memperkuatkan pasukan terutamanya pada jendela perpindahan kedua.
Malah ia juga menunjukkan pengurusan dan jurulatih malas mengkaji dan menyelidik dengan lebih mendalam terhadap pemilihan pemain import baharu.
“Ini menunjukkan prestasi kita masih di takuk lama. Kita sudah kenal dan tahu tahap kebolehan pemain ini, kalau 80 peratus, maka ia tidak lagi boleh lebih daripada 80 peratus.
“Bagi saya bukan mereka takut nak ambil risiko, tapi mereka tak rajin meneliti dan mengkaji kemampuan pasukan. Sepatutnya mereka mencari pemain baharu, bukan yang kitar semula.
“Liga kita takkan ada peningkatan kalau terus gunakan pemain kitar semula ini. Kalau prestasi pemain ini baik kenapa pasukan lama tak nak kekalkan mereka?
“Jadi sebab itu saya tidak berapa setuju apabila banyak pasukan ambil pemain kitar semula ini dan ia bukan langkah yang baik untuk perkembangan liga,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau mengulas bagaimana Pahang menandatangani dua bekas pemain Kelantan dan Terengganu, Austin Amutu dan Issey Nakajima-Farran.
Malah, Kedah juga mengambil bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Paulo Rangel selain PKNS FC juga dilaporkan berada dalam proses membawa kembali bekas pemain mereka, Gabriel Guerra sebelum tarikh perpindahan ditutup pada 3 Jun.
Selain itu, Azlan menyifatkan kehadiran semula pemain kitar semula ini juga dilihat sebagai membunuh elemen kejutan untuk menarik minat penyokong ke stadium.
“Bola sepak adalah perniagaan, kita mengharapkan penyokong datang ke stadium untuk mendapatkan pendapatan. Jadi kita perlukan elemen kejutan.
“Tapi apa elemen kejutan yang ada pemain kitar semula? Tiada, sebab peminat memang sudah kenal mereka. Jadi tiada apa yang baharu.
“Tapi macam pemain tempatan pergi ke pasukan lain memang tindakan yang wajar kerana ia menunjukkan prestasi mereka semakin meningkat sebab itu mereka dapat tawaran baharu,” katanya.