Piala Dunia 2018 Santai

Mari kenali semua maskot Piala Dunia dari 1966 hingga 2018!

Ketika perlawanan bolasepak terutamanya di luar negara, kita sering melihat adanya maskot yang menghiasi hari perlawanan. Kehadiran maskot ini mungkin tidak mampu mengubah keputusan di atas padang, tetapi mereka sebenarnya mampu membantu menceriakan suasana dan membantu menghangatkan atmosfera di stadium. Untuk kejohanan seperti Piala Dunia, maskot memberikan identiti kepada kejohanan itu sendiri.

Sejak tahun 1966, iaitu Piala Dunia pertama yang menggunakan maskot, sudah ada begitu banyak maskot untuk setiap edisi Piala Dunia. Bermacam-macam bentuk dan punyai maksud tersendiri. Mari kenali maskot Piala Dunia dari tahun 1966 hingga 2018!

Willie – England 1966

Willie merupakan maskot pertama dalam sejarah Piala Dunia.Willie adalah seekor singa yang memakai baju dengan gambar bendera United Kingdom. Maskot singa digunakan kerana ia merupakan binatang yang menjadi simbol United Kingdom.

Photo credit: BT Sports

 

Juanito – Mexico 1970

Juanito adalah budak lelaki yang menyarung jersi Mexico dan memakai topi khas Mexico, Sombrero. Nama Juanito ini berasal daripada nama Juan, satu nama yang biasa di Mexico dan tambahan ‘Ito’ memberi maksud ‘Juan Kecil’.

Photo Credit: Highsnobiety

Tip & Tap – Jerman Barat 1974

Tip& Tap adalah dua budak lelaki yang menyarung jersi putih dengan tulisan WM (Weltmeisterschaft/Piala Dunia) dan 74. Maskot Tip & Tap ini mungkin tidak kelihatan tidak terlalu menonjol tetapi sebenarnya mereka membawa pesanan mengenai kesatuan Jerman Barat dan Timur.

Photo credit: Bola.net

 

Gauchito – Argentina 1978

Gauchito bermaksud Gaucho – seorang penunggang kuda yang merupakan simbol Argentina- yang kecil. Ini menjelaskan mengenai Gauchito memakai topi koboi dan memegang cemeti. Gauchito mencipta kontroversi apabila menyarung jersi Puma sedangkan penaja jersi Argentina adalah Adidas.

Photo credit: 20minutes.fr

 

Naranjito – Sepanyol 1982

Naranjito adalah buah oren besar yang memegang bola. Maskot ini terinsipirasi daripada buah oren yang merupakan simbol nasional Sepanyol. Naranjito menewaskan 586 calon lain untuk menjadi maskot rasmi Piala Dunia 1982.

Photo credit: Pinterest

 

Pique – Mexico 1986

Sama seperti Naranjito, Pique adalah maskot yang mengambil inspirasi daripada tanaman. Pique adalah sebiji cili jalapeno, yang merupakan salah satu bahan masakan khas Mexico. Bukan sahaja menggunakan Jalapeno yang mempunyai ciri khas Mexico, Pique juga mempunyai misai dan topi sombrero yang cukup sinonim dengan Mexico. Nama Pique berasal daripada perkataan ‘picante’ yang bermaksud cili.

 

 

Ciao – Itali 1990

Ciao merupakan antara maskot paling aneh. Rekabentuk seakan-akan berbentuk lego dengan warna tricolore (merah-putih-hijau) bendera Itali dan berkepala bolasepak. Ciao bermaksud ‘hello’ dalam Bahasa Itali.

Photo credit: Sinchew.com

 

Striker – Amerika Syarikat 1994

Striker adalah seekor anjing yang menyarung jersi Amerika Syarikat berwarna merah,putih dan biru dengan tulisan ‘USA 94’. Anjing dipilih kerana ianya binatang yang menjadi kegemaran rakyat Amerika Syarikat.

 

Footix – Perancis 1998

Footix menggunakan ayam jantan yang merupakan simbol simbol nasional Perancis. Footix menggunakan warna merah dan biru Perancis dan namanya merupakan gabungan ‘Football’ dan ‘-ix’ dari komik Asterix, komik yang terkenal di Perancis.

 

Ato, Nik & Kaz – Jepun dan Korea Selatan 2002

Ato, Nik & Khaz adalah makhluk yang dipanggil spheriks. Mereka tinggal di tempat bernama Atmozone dan merupakan pemain atmoball, bolasepak versi atmozone. Ketiga-tiga maskot ini masih tidak pasti membawa simbolik apa tetapi pernah disiarkan dalam rancangan animasi suatu ketika dahulu.

 

Golleo & Pille - Jerman 2006

Golleo adalah seekor singa yang menyarung jersi Jerman dan Pille pula adalah sebiji bola sepak. Mereka ini dilihat berbeza tetapi mempunyai minat yang sama. Golleo mungkin membawa maksud singa yang menjaringkan gol sementara Pille membawa maksud bolasepak.

 

Zakumi – Afrika Selatan 2010

Zakumi adalah seekor harimau bintang kecil yang mempunyai rambut berwarna hijau. Nama Zakumi menggunakan kod ZA yang merupakan kod Afrika Selatan dan Kumi yang bermaksud 10 dalam Bahasa Afrika Selatan sempena 2010.

 

Fuleco – Brazil 2014

Fuleco adalah seekor tenggiling, haiwan yang sinonim dengan Brazil. Tenggiling ini merupakan seekor binatang yang dilindungi. Kerana maskot Fuleco, masyarakat dilihat lebih mengambil tahu berkenaan binatang ini. Nama Fuleco adalah gabungan Futebol (bolasepak) dan Ecologia (alam sekitar).

 

Zabivaka – Russia 2014

Zabivaka adalah seekor serigala yang memakai cermin mata sukan dan menyarung baju biru putih serta seluar merah. Zabivaka bermaksud penjaring gol dalam Bahasa Russia.