Malaysia Liga Super Malaysia

Melaka United bakal dirombak, tiga pemain import mungkin ditukar

Melaka United dijangka akan membuat rombakan pada jendela perpindahan kedua melibatkan beberapa pemain import dan tempatan bagi memastikan pasukan itu mampu memperbaiki prestasi dalam baki saingan Liga Super musim ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, ini berdasarkan prestasi pasukannya yang masih tidak menentu.

Katanya, sekurang-kurangnya tiga pemain import perlu ditukar malah pemain tempatan juga memerlukan nafas baharu di posisi pertahanan, tengah dan serangan.

“Keperluan untuk membuat pertukaran pemain itu sememangnya ada tetapi kalau tidak kita akan guna pemain yang ada.

“Kita telah mengenal pasti dan berhubung dengan pemain import Brazil dan Asia,” katanya kepada Kosmo!

Namun keputusan itu belum dapat dibuat kerana presiden pasukan masih belum dilantik.

“Kita ada pemain-pemain baharu yang dalam pemerhatian. Oleh kerana tidak tahu status presiden ketika ini disebabkan peralihan kuasa kerajaan negeri menyebabkan perancangan pasukan tersangkut dan tiada tindakan dapat dilakukan.

Jadi kita berharap kepimpinan baharu dapat tentukan apa-apa keperluan lain mengikut keputusan presiden,” katanya.

Melaka United ketika ini dikuatkan dengan lima orang pemain import iaitu Yahor Zubovich, Jeon Woo-young, Tiago Gomes, Steven Thicot dan Shahdan Sulaiman.

Melaka berada di tangga ke-10 ketika ini dengan mengumpul 10 mata, hanya dua mata di hadapan Kelantan yang berada dalam zon penyingkiran di tempat ke-11 bersama-sama Negeri Sembilan di kedudukan tercorot liga.