Luar Negara Eropah

Projek LaLiga gagal, persiapan Arab Saudi ke Piala Dunia 2018 terganggu?

Pemain-pemain Arab Saudi yang menyertai kelab Sepanyol telah kembali ke negara mereka untuk persiapan menjelang Piala Dunia 2018. Jelas sekali, projek yang terjalin hasil kerjasama antara Persekutuan Bolasepak Arab Saudi dan LaLiga ini tidak mencapai hasil yang diinginkan.

Daripada semua nama yang dihantar ke Sepanyol oleh pihak Arab Saudi, hanya seorang pemain yang meraih aksi saingan bola sepak di negara matador, iaitu Fahad Al-Muwallad. Pemain yang beraksi bersama Levante itu sempat tampil di LaLiga tetapi hanya 10 minit terakhir ketika pertemuan Levante dan Leganes pada awal Mei lalu.

Fahad, pemain yang disebutkan sebagai ‘Messi Arab Saudi’, masuk sebagai pemain gantian dalam aksi itu. Seminggu kemudian, dia menjadi penonton di bangku simpanan ketika pasukannya menamatkan rekod tanpa kalah Barcelona sewaktu Levante menang 5-4. Namun, pengendali, Paco Lopez, membuat keputusan untuk tidak menawarkan kontrak tetap. Kini, Fahad akan kembali ke Arab Saudi untuk menjalani persiapan Piala Dunia.

Selain Fahad, pemain tengah, Salem Al-Dawsari dan Jaber Issa, telah menyertai kelab liga utama, Villareal. Namun, kedua-duanya gagal beraksi walau seminit buat The Yellow Submarine. Al-Dawsari tidak pernah menyertai skuad utama sementara Issa diabaikan oleh pasukan Villareal B. Namun, Al-Dawsari sekurang-kurangnya pernah mewakili pasukan Villareal B-23 ketika aksi Premier International Cup menentang Arsenal di London.

Nama terakhir yang memperkuatkan pasukan liga utama, Yahia Al-Sehri, juga telah meninggalkan Leganes tanpa pernah beraksi. Namun, pemain muda, Marwan Othman, akan tetap berada bersama pasukan itu pada musim depan untuk menjalani latihan bersama Leganes C.

Dalam saingan liga kedua, nasib pemain-pemain Saudi ternyata sama. Nooh Al-Mousa yang menghabiskan separuh musim di Real Valladolid dan Ali Al-Nemer bersama Numancia, tidak pernah menyertai skuad walaupun pasukan mereka hanya beraksi di Segunda Division. Mereka berdua telah diizinkan untuk pulang menjelang tamat tempoh pinjaman mereka pada 30 Mei 2018.

Nama Al-Nemer sebenarnya pernah merasai bangku simpanan untuk sebuah perlawanan, iaitu sewaktu berdepan Albecete pada Februari lalu. Namun, dia tidak pernah lagi dilihat selepas itu. Justeru, pasukannya iaitu Numancia telah meraih keuntungan daripada kekayaan Al-Nemer. Mereka menerima kerjasama tajaan daripada Jawwy, syarikat telekomunikasi Arab Saudi. Kelab yang berpengkalan di Soria ini akan menerima bantuan dana sehingga 30 Jun 2018.

Dua nama terakhir iaitu Abdulmajeed Al-Sulaiheem (Rayo Vallecano) dan Abdullah Al-Hamdan (Sporting Gijon) juga telah meninggalkan pasukan masing-masing tanpa pernah beraksi. Kegagalan pemain-pemain Arab Saudi ini boleh disifatkan sebagai walaupun menerima sokongan penuh kerjasama antara persatuan, pemain-pemain Arab Saudi masih tidak mampu bersaing di Sepanyol.

Adakah ini akan mempengaruhi prestasi skuad kebangsaan Arab Saudi di Piala Dunia 2018?