Menjelang Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Indonesia selaku tuan rumah pada bulan Ogos ini, jurulatih pasukan kebangsaan bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee merasa bimbang dengan persiapan pasukannya.
Katanya, tidak ada sebarang jaminan bahawa semua pemain yang akan disenaraikan nanti diberikan pelepasan daripada pihak pengurusan pasukan masing-masing memandangkan temasya sukan itu berlangsung serentak dengan kempen Piala Malaysia.
“Saya merancang untuk mengadakan latihan pusat terakhir pada awal Ogos ini, kira-kira 10 hari sebelum pemain berangkat ke Indonesia. Apa yang membimbangkan jika ada pemain yang tidak mendapat pelepasan pasukan.
“Jika semua pemain dapat melaporkan diri bagi latihan pusat pada 1 Ogos, saya masih sempat untuk mengadakan satu perlawanan ujian pada 6 Ogos. Cuma saya tidak tahu sama ada saya boleh dapat mengumpul semua pemain memandangkan Piala Malaysia juga bermula pada awal Ogos,” katanya kepada Berita Harian.
Dalam situasi ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak pengurusan pasukan negeri dan kelab perlu bersepakat bagi mengelak daripada masalah pelepasan pemain berulang seperti dahulu.
Sebelum ini, ketika Ong Kim Swee sedang mempersiapkan pasukannya untuk pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, Thailand pada Julai tahun lalu, hanya enam daripada 26 pemain yang disenaraikan melaporkan diri untuk pasukannya sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak.
Pemain-pemain lain kemudian dikumpul secara berperingkat namun enam pemain iaitu Haziq Nadzli, Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan S. Kumaahran, Matthew Davies dan Azam Azih tetap tidak mendapat pelepasan untuk bersama pasukan B-23.
Namun disebalik kesukaran itu, pasukan Ong Kim Swee mencipta kejutan apabila pasukan itu bukan sahaja melepasi pusingan kelayakan malah mara sehingga ke suku akhir AFC B-23 di China awal tahun ini.
Tambah Kim Swee, meskipun tempoh persiapan kali ini agak singkat, beliau tidak akan begitu bimbang sekiranya pemain diberikan pelepasan.
“Tempoh 10 hari itu sebenarnya mencukupi andai semua pemain dapat pelepasan bersama pasukan. Pemain tiada masalah dari segi kecergasan kerana pemain melaporkan diri selepas saingan liga berjalan.
“Saya akan berbincang dengan FAM mengenai perancangan pasukan minggu depan dan diharap kita akan dapat kerjasama baik semua pihak,” katanya.