Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah mengesahkan bekas penyerang Selangor, Terengganu dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Paulo Rangel akan memperkuatkan pasukan Kedah bagi baki saingan Liga Super musim ini.
Katanya, beliau berharap pemain yang berasal dari Brazil itu dapat beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 22 Mei ini.
“Rangel ketika ini dalam proses rundingan terakhir sebelum pemain itu menyertai Kedah pada jendela perpindahan kedua bulan ini.
“Ini adalah perancangan yang dibuat Kedah bagi memantapkan serta memperkasakan jentera serangan untuk menghadapi Liga Super dan aksi Piala Malaysia musim ini yang semakin sengit.
“Saya percaya Rangel akan dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama skuad Helang Merah kerana beliau pernah beraksi dalam Liga Malaysia sebelum ini,” katanya kepada Kosmo!
Ini menandakan Rangel yang kini mewakili kelab Nakhon Ratchasima yang bersaing dalam Liga Thailand akan kembali ke Liga Malaysia setelah kali terakhir beraksi untuk JDTII pada tahun 2016.
Rangel akan disertai dua lagi penyerang import iaitu Sylvano Comvalius yang kini beraksi bersama kelab Suphanburi FC di Thailand dan bekas pemain Kuantan FA, Zarko Korac.
Prestasi pemain import Kedah ketika ini iaitu Pablo Palares didapati kurang memuaskan memaksa pengurusan membuat perancangan untuk mencari seorang penyerang yang mempunyai pengalaman dan memiliki keupayaan terbaik sebagai penjaring.