Malaysia Kajian & Analisis

Mengapa prestasi Kuala Lumpur hambar di tempat lawan?

Kuala Lumpur merupakan satu pasukan yang cukup aneh. Begitu handal di tempat sendiri, tetapi bila beraksi di tempat lawan, tiba-tiba hilang punca. Entah apa agaknya badi Kuala Lumpur di tempat lawan.

Terbaru, Kuala Lumpur tewas kepada PKNS 2-3 di Stadium Shah Alam walaupun mereka menang ke atas pasukan yang sama dengan keputusan 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Kekalahan kepada PKNS ini merupakan kekalahan kedua berturut Kuala Lumpur dalam saingan liga dan kekalahan kelima berturut-turut ketika beraksi di tempat lawan.

Berbeza dengan rekod beraksi di tempat sendiri di mana Kuala Lumpur hanya tewas dalam perlawanan pembukaan menentang Selangor. Setakat ini, Kuala Lumpur masih belum memungut sebarang mata ketika beraksi di tempat lawan. Ini merupakan rekod Kuala Lumpur di tempat lawan:

Negeri Sembilan 2-0 Kuala Lumpur
PKNP 2-1 Kuala Lumpur
Perak 3-0 Kuala Lumpur
Kelantan 4-2 Kuala Lumpur
PKNS 3-2 Kuala Lumpur

Skuad kendalian Fabio Maciel sudah beraksi di tempat lawan menentang Negeri Sembilan, PKNP, Perak, Kelantan dan PKNS. Dalam lima perlawanan itu, Negeri Sembilan dan PKNP merupakan pasukan yang baru naik dari Liga Super dan dua pasukan, iaitu Kelantan dan Negeri Sembilan berada di bawah Kuala Lumpur.

Rekod jaringan dan bolos Kuala Lumpur di tempat lawan memang mengecewakan apabila sekadar menjaringkan 5 gol dan bolos 14. Bagi musim ini dua kemenangan yang dicatatkan Kuala Lumpur di tempat lawan adalah dalam saingan Piala FA, ketika menewaskan Melaka United menerusi sepakan penalti dan kemenangan suku akhir kedua menentang Selangor.

Berbeza dengan persembahan Kuala Lumpur di tempat sendiri di mana mereka mengutip mata menentang pasukan-pasukan yang berada di tangga teratas.

Kuala Lumpur 0 – 2 Selangor
Kuala Lumpur 1 – 0 JDT
Kuala Lumpur 4 – 3 Kedah
Kuala Lumpur 2 – 2 Pahang
Kuala Lumpur 2 – 1 PKNS

Rekod Kuala Lumpur memang cemerlang di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Bahkan, satu-satunya kekalahan JDT musim ini adalah disebabkan Kuala Lumpur. Rekod Kuala Lumpur di tempat sendiri agak baik apabila menjaringkan 9 gol dan bolos lapan gol.

Akan tetapi, satu perkara yang boleh kita lihat daripada rekod Kuala Lumpur sama ada di tempat lawan atau tempat sendiri adalah jumlah bolos. Daripada 10 perlawanan liga, Kuala Lumpur sudah bolos 22 gol. Jumlah yang sama seperti pasukan tangga tercorot, Negeri Sembilan, cuma bezanya jentera serangan Kuala Lumpur lebih baik apabila menjaringkan 14 gol.

Menjelang jendela perpindahan kedua ini, Fabio seharusnya meneliti masalah yang sedang dihadapi City Boys ini terutamanya ketika beraksi di tempat lawan. Agak aneh apabila mereka mampu beraksi dengan mantap di Cheras, tetapi beberapa hari kemudian kalah di tempat lawan. Adakah pemain kurang motivasi beraksi di tempat lawan? Atau terlebih selesa beraksi di Cheras? Semoga masalah ini dapat diselesaikan sebelum Kuala Lumpur berdepan masalah untuk kekal di Liga Super.