Menjelang jendela perpindahan kedua, Kedah nampaknya bersedia menambahkan bisa di bahagian serangan.
Bisa yang mereka tagih bukanlah seorang pemain yang asing dengan bolasepak Malaysia. Bahkan pemain ini telah beraksi untuk empat pasukan di Liga Malaysia dan menunjukkan kehebatannya menjaringkan gol untuk semua pasukan.
Paulo Rangel, bekas penyerang Perak, Selangor, Terengganu, JDT dan JDT II merupakan penyerang yang dikhabarkan kini sedang diintai oleh Kedah untuk membantu mereka mencari gol.
Kedah memulakan misi mencari penyerang import baru selepas penyerang sedia ada, Pablo Palares dilihat kurang efektif. Sebelum ini beberapa penyerang turut dikaitkan dengan Kedah.
Penyerang yang berusia 33 tahun ini kali terakhir beraksi di Malaysia adalah bersama Johor Darul Ta’azim II. Dia kini beraksi bersama kelab Liga Thailand, Nakhon Ratchasima.
Kemuncak kehebatan Paulo Rangel di Malaysia adalah apabila dia berjaya muncul pemenang kasut emas Liga Super pada tahun 2014 selepas menjaringkan 16 gol untuk Selangor.