Ketua jurulatih Thailand, Milovan Rajevac merasa gembira apabila diundi dalam satu kumpulan yang sama dengan Filipina.
Thailand diundi dalam Kumpulan B bersama Filipina, Indonesia, Singapura dan salah satu daripada Brunei atau Timor Leste yang akan beraksi di pusingan kelayakan.
Rajevac dalam satu laporan Bangkok Post berkata: “Kedua-dua pasukan seimbang.
“Kami bersedia untuk bermain menentang mana-mana pasukan tetapi kami tidak akan memandang rendah sesiapa. Kami perlu beraksi sebaik mungkin dalam setiap perlawanan.
Jurulatih dari Serbia itu dikhabarkan gembira bertemu Filipina yang berada di kedudukan lebih tinggi berbanding Thailand dalam ranking FIFA. Dengan menewaskan pasukan yang berada di kedudukan lebih tinggi, lebih banyak mata akan diberikan kepada pasukan yang menang.
Dalam kedudukan FIFA terbaru, Filipina berada di kedudukan ke 113 sementara Thailand di kedudukan ke 122.
Thailand merupakan juara bertahan Piala AFF Suzuki selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 3-2 dalam perlawanan akhir kejohanan tersebut pada tahun 2016.
Selain itu, Thailand juga merupakan juara paling banyak kejohanan dengan lima kali merangkul trofi Piala AFF Suzuki sejak ia pertama kali dipertandingkan pada tahun 1996.
Thailand dan Filipina akan mewakili Asia Tenggara bersama Vietnam dalam saingan Piala Asia 2019 nanti.