Selain pasukan kebangsaan Arab Saudi, Jepun dan Korea Selatan, Iran masih dianggap sebagai salah satu raksasa dalam saingan bola sepak Asia. Mereka muncul pasukan paling banyak melakukan penampilan di Piala Dunia iaitu sebanyak lima kali pada 1978, 1998, 2006, 2014 dan 2018.
Berdasarkan FIFA, Iran masih menduduki tangga teratas pasukan di Asia selepas menduduki tangga ke-36 dunia dalam ranking yang dikeluarkan pada April 2018.
Sayangnya, tahap konsisten apabila beraksi di Piala Dunia itu gagal diterjemahkan jika bercakap mengenai penampilan mereka di Piala Asia. Selepas meraih tiga kejuaran pada 1968, 1972 dan 1976, ia sekadar menjadi sejarah dan Pasukan Melli tidak pernah menjejakkan kaki ke aksi final tatkala kedudukan terbaik di tempat ketiga.
Kemarau kejuaraan ini membuatkan pemain handalan Iran, Alireza Jahanbakhsh, mahu menamatkan rentetan itu apabila beraksi di Piala Asia 2019 di Emiriyah Arab Bersatu.
Pemain berusia 24 tahun itu kini membarisi skuad AZ Alkmaar di Liga Eredivisie Belanda dan dia menyatakan bahawa nama Iran akan kembali bangkit di mata penggemar bola sepak apabila beraksi cemerlang dalam saingan Piala Asia tidak lama lagi.
“Piala Asia 2019 nanti sangat penting buat Iran. Berbekalkan kualiti pasukan yang kuat dan kemampuan Carlos Queireoz sebagai pengendali, kami yakin sasaran untuk juara adalah logic. Secara peribadi, saya ingin membawa trofi Piala Asia ke Iran buat pertama kali selepas empat puluh tahun,” jelas Jahanbakhsh melalui laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Walaupun mempunyai keinginan besar untuk membantu pasukannya beraksi di peringkat tertinggi, Jahanbakhsh sedar bahawa saingan pada tahun depan bakal sengit apabila perlu berdepan pasukan gergasi seperti Arab Saudi, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Uzbekistan, yang tentunya turut meletakkan sasaran sama.
Piala Asia 2019 adalah edisi ke-17 dan ia bakal dimulakan kira-kira sembilan bulan lagi tetapi harus diingat bahawa proses undian peringkat kumpulan bakal dijalankan pada 4 Mei 2018 di Dubai.