Selepas menceritakan tentang prestasi terbaik kelab-kelab Asia Tenggara di pentas Piala AFC baru-baru ini, kita perluaskan topik pula. Maru melihat prestasi terbaik kelab-kelab dari Asia Tenggara di pentas terbesar buat kelab-kelab di Asia ini.
Western Sydney Wanderers (Australia) juara musim 2014
Kita perlu ingat bahawa kali terakhir kelab di bawah naungan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) menjuarai Liga Juara-Juara Asia adalah empat tahun lalu, iaitu musim 2014. Kelab Australia, Western Sydney Wanderers, muncul juara selepas menewaskan Al-Hilal (Arab Saudi) di final. Walaupun masih diperdebatkan sama ada kelab Australia boleh dikira sebagai wakil Asia Tenggara, ketika ini mereka jelas sudah menjadi anggota AFF.
Thai Farmers Bank (Thailand) juara 1994/1995
Jika anda anda tidak mahu mengambil kira tentang prestasi Western Sydney Wanderers sebagai sejarah kelab Asia Tenggara, tidak mengapa kerana masih ada pasukan Asia Tenggara lain yang pernah muncul juara. Setahun sebelum berada dalam kumpulan yang sama dengan Persib Bandung, kelab Thailand, Thai Farmers Bank (TFB) muncul sebagai juara Liga Juara-Juara Asia. Mereka menewaskan wakil Qatar, Al-Arabi, pada waktu itu di final.
Thai Farmers Bank (Thailand ) 1993/1994
Kejayaan pasukan ini pada musim 1994/1995 sebenarnya mengulangi kemenangan mereka pada musim sebelumnya. Seperti Nottingham Forest yang menjuarai Liga Juara-Juara dua kali berturut-turut pada era 80-an, TFB melakukan kejutan apabila menundukkan Oman Club di final. Sayangnya, kelab ini telah dibubarkan pada tahun 2000.
Selangor (Malaysia) naib juara 1967
Pada era 60-an, Selangor, juga pernah melayakkan diri ke pentas final Kejuaraan Antarakelab Asia, tahun terakhir sebelum Liga Juara-Juara Asia diperkenalkan dan mereka muncul naib juara dalam pertandingan yang hanya disertai enam pasukan itu. Apa yang unik, kelab yang menewaskan wakil Malaysia ini adalah pasukan dari Israel, Hapoel Tel Aviv FC.
Kelab-kelab Indonesia di separuh akhir 1986 dan 1991
Kramayudha Tiga Berlian (KTB) pernah meraih tempat ketiga pada musim 1985/86. Kelab yang sudah dibubarkan ini menewaskan wakil Syria, Al-Ittihad Aleppo, dengan keputusan tipis 1-0. Enam tahun kemudian, Pelita Jaya mengulangi prestasi mereka apabila menang ke atas April 25 (Korea Utara) dalam aksi perebutan tempat ketiga.