Perjalanan karier Arsene Wenger sebagai pengurus Arsenal akhirnya bakal berakhir pada hujung musim 2017/18. Pada 20 April lalu, pengendali dari Perancis ini mengumumkan untuk mengundurkan diri pada musim depan, sekaligus menamatkan catatan perjalanan selama 22 tahun.
Dalam tempoh itu, Wenger telah memberikan sumbangan dalam banyak perkara. Daripada beberapa jumlah trofi kepada membawa masuk pelbagai bintang ke utara London. Kebanyakan mereka melalui perkembangan karier yang hebat seperti Patrick Vieira, Thierry Henry, Cesc Fabregas, Robin van Persie dan ramai lagi.
Bagaimanapun, Wenger bukanlah sempurna. Terdapat beberapa perpindahan pemain yang membuatkan ramai pihak tidak memahami akan langkah yang dilakukan itu. Hampir setiap kelompok pemain ini tidak dapat bertahan lama di Emirates.
Junichi Inamoto (2001, dari Gamba Osaka)
Sebagai bintang muda yang sedang bersinar, bakat Inamoto menarik perhatian Wenger. Usaha mendapatkannya dilihat sesuatu yang bagus apabila mengingat kembali saat Wenger berkelana di Jepun. Apa yang memelikkan, selama setahun di Highbury, Inamoto langsung tidak diturunkan dalam aksi liga. Inamoto bernasib baik kerana pengurus skuad Jepun, Philippe Troussier, masih mempercayainya untuk dibawa masuk ke dalam pasukan menjelang Piala Dunia 2002.
William Gallas (2006, dari Chelsea)
Kecewa selepas nombor jersinya digunakan oleh Michael Ballack, Gallas menyertai Arsenal menerusi proses pertukaran dengan Ashely Cole. Selama empat tahun, kariernya tidaklah begitu buruk walaupun gagal meraih sebarang gelaran. Dia juga sempat diberikan lilitan kapten. Namun, dia dilaporkan sering menimbulkan masalah dalam bilik persalinan. Selepas meninggalkan Emirates, Gallas menyertai Tottenham Hotspur.
Mikael Silvestre (2008, dari Manchester United)
Wenger menghubungi pemain ini ketika Silvestre sudah menerima tawaran dari Manchester City. Faktor warga Perancis membuatkan Silvestre tidak ragu untuk mengubah haluannya. Silvestre adalah pemain ytang bagus, namun masalah kecederaan panjang dalam dua musim membuatkan prestasinya menurun. Hal itu dibuktikan apabila dalam dua musim, Wenger lebih banyak meminggirkannya.
Sebastian Squillacci (2010, dari Sevilla)
Pengalaman bersama AS Monaco, Lyon, dan Sevilla menjadikan perpindahan ke Arsenal menjadi satu naik taraf buat Squillacci. Sayangnya, dia gagal memberikan persembahan yang baik dalam musim pertama walaupun sering diturunkan, sebelum banyak memanaskan bangku simpanan dalam dua tahun berikutnya. Selepas menyertai Arsenal, dia tidak lagi menerima panggilan skuad Perancis dan akhirnya berpindah ke kelab bawahan Ligue 1, Bastia.
Ryo Miyaichi (2011, dari Chukyodai Chukyo High School)
Arsenal merupakan pasukan profesional pertama buat pemain yang didapatkan Wenger pada saat akhir ini. Dia mungkin satu-satunya pemain yang dibawa masuk dari sebuah sekolah menengah. Selama tempoh di Arsenal, dia hanya melakukan satu penampilan. Walaupun dipinjamkan beberapa kali ke pasukan lain di England serta Belanda, akhirnya dia dilepaskan secara tetap ke St. Pauli pada musim panas 2015.
Andre Santos (2011, dari Fenerbahce)
Dia merupakan sebagian daripada pembelian panik Arsenal pada hari terakhir jendela pembelian musim panas selepas dimalukan Manchester United 8-2 dalam aksi liga. Dua musim bersama Arsenal, dia lebih banyak mengalami kecederaan. Detik mengenainya yang diingati sepanjang di Arsenal bukan prestasi tetapi bertukar kasut dengan Robin van Persie yang sudah menyertai United ketika itu.
Park Chu-Yong (2011, dari AS Monaco)
Sama seperti Santos, Park juga merupakan pembelian panik ketika musim panas 2011 dan seperti Squillacci, perpindahannya ke Arsenal menyebabkan kariernya hancur walaupun sudah berkembang dengan baik di Monaco. Tiga tahun di Arsenal, dia hanya bermain di pentas liga sekali dan sering dipinjamkan. Kini, pada usia 32 tahun, Park sedang menikmati karier di FC Seoul.
Emiliano Viviano (2013, dari Fiorentina)
Tidak pasti apa yang difikirkan Viviano sewaktu menerima tawaran Arsenal kerana pada waktu itu, dia sedang menikmati tempoh yang positif bersama La Viola. Selama semusim di Arsenal, dia menjadi satu-satunya pemain Gunners yang tidak beraksi pada waktu itu, sehingga akhirnya pulang ke Itali. Baru-baru ini, Viviano mengakui bahawa karier di Arsenal merupakan saat hitam dalam kariernya.
Kim Kallstrom (2014, dari Spartak Moscow)
Dikesan mengalami kecederaan punggung ketika ujian kesihatan, Wenger dengan baik hati tetap memberikannya kontrak selama enam bulan sambil berharap dia cepat sembuh. Walaupun hanya beraksi sebanyak empat kali buat Arsenal, dia sempat melakukan sumbangan apabila menjaringkan gol ketika penentuan penalti separuh akhir Piala FA menentang Wigan, sekaligus dikatakan menjadi 15 minit terbaik dalam hidupnya.
Takuma Asano (2016, dari Sanfrecce Hiroshima)
Seolah-olah tidak serik dengan kegagalan ketika membawa masuk pemain dari Asia, Wenger sekali lagi membawa masuk pemain dari Jepun ke Emirates. Seperti biasa, Wenger menyifatkan pemain itu amat berbakat. Namun, permit kerja menyebabkannya gagal beraksi di England sehingga menyebabkannya terpaksa dipinjamkan terlebih dahulu ke Stuttgart. Melihat kepada Wenger yang bakal meninggalkan pasukan pada musim depan, mungkin ia adalah perpindahan pelik yang terakhir daripadanya, melihat barisan pemain-pemain yang langsung tidak beraksi di bawah kendaliannya.