Ketua jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria berkata, masalah tunggakan gaji pemain yang berlarutan sejak empat bulan lalu menjadi punca pemain Kuantan FA enggan beraksi menentang PDRM dalam saingan Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam semalam.
Katanya, beliau sendiri sudah tidak mampu melakukan apa-apa selepas kesemua pemain Kuantan FA bersepakat untuk tidak menghadirkan diri dalam perlawanan tersebut.
Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan Kuantan FA untuk memberi penjelasan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Saya sudah tidak mampu untuk membantu pemain, mereka sudah bosan dengan masalah tunggakan gaji yang berterusan.
“Kami juga tidak nampak usaha pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah gaji ini. Jadi, mungkin ini keputusan terbaik yang boleh dilakukan.
“Sekarang ini, saya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pengurusan untuk menjelaskan apa yang sepatutnya kepada MFL dan FAM,” katanya kepada Berita Harian.
Disebabkan barisan pemain dan jurulatih Kuantan FA tidak hadir ke stadium bagi mengadakan perlawanan, kemenangan percuma 3-0 dihadiahkan kepada PDRM.
Kuantan FA ketika ini menduduki tangga ke-9 dengan enam mata selepas tujuh perlawanan dalam carta Liga Perdana.
Pasukan dari Pantai Timur itu sebelum ini diambilalih oleh pengurusan Marcerra United pada penghujung tahun lalu.
Pengurusan itu berjanji akan melunaskan segala hutang pasukan sebelum ini yang bernilai RM3.5 juta.
Namun tidak lama kemudian, beberapa pemain Kuantan FA tampil mendakwa gaji mereka masih belum dibayar dan tunggakan tersebut sudah berlarutan sehingga tiga bulan.
Kelewatan bayaran gaji itu juga menyebabkan beberapa pemainnya bertindak menandatangani kontrak dengan pasukan lain, meskipun jendela perpindahan kedua hanya mula dibuka pada bulan hadapan.