Pemain-pemain terbaik dunia sering ditunggu untuk melakukan penampilan di Piala Dunia. Edisi 2018 di Russia juga tidak terkecuali dalam menantikan aksi serta drama di atas padang.
Bagaimanapun, tatkala sepak mula berbaki kurang dari 80 hari, beberapa pemain di Eropah masih bergelut dengan kecederaan untuk beraksi walaupun sebelum ini peluang mereka untuk dipilih sangat tinggi. Berikut adalah senarai beberapa pemain yang bergelut dengan masalah itu.
Neymar - Patah tulang
Pada Februari lalu ketika pertemuan Le Classique antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Marseille, Neymar menerima kecederaan besar di bahagian tulang metatarsal kelima serta buku lalinya. Insiden itu menyebabkannya berkemungkinan besar terpaksa melupakan aksi sehingga akhir musim.
Selepas selesai menjalani pembedahan, dia mengharungi proses pemulihan di Brazil bersama fisioterapi terkenal, Raphael Martini, individu yang sudah bersamanya sejak ketika di Santos.
Pemain berusia 25 tahun ini sedang berusaha untuk kembali beraksi di Ligue 1 dengan harapan disenaraikan ke Piala Dunia dalam keadaan cergas sepenuhnya. Beberapa doktor menyuarakan keraguan hasrat itu tetapi Neymar tetap yakin mampu melakukannya.
Manuel Nueuer - Patah tulang
Dua musim terakhir tampak bukan tempoh yang akan diingati oleh penjaga gol nombor satu Jerman ini kerana dalam masa 12 bulan, dia berdepan masalah patah tulang metatarsal sebanyak tiga kali termasuk kaki kirinya sehingga menyebabkan terpaksa menjalani pembedahan yang sudah pasti memakan masa untuk pulih. Dia sanggup ke Thailand untuk melakukan beberapa proses pemulihan.
Bagaimanapun, peluangnya untuk menyertai Jerman di Piala Dunia 2018 tampak cerah apabila menyasarkan untuk cergas 90 peratus pada April. Dia juga berhasrat untuk beraksi dalam beberapa aksi bersama Bayern Munich sebelum akhir musim ini.
Dalam masa sama, peluang untuknya menjadi pilihan utama juga kelihatan sukar kerana menerusi aksi kompetitif, Marc-Andre Ter Stegen tentunya berada di depan. Kali terakhir dia beraksi adalah pada 16 September 2017 bersama Bayern sementara untuk skuad Den Panzer, dia tidak menyarung jersi sejak Oktober 2016.
Gylfi Sigurdsson - Cedera lutut
Pemain Everton semestinya harus bekerja keras jika berhasrat mewakili Iceland di Piala Dunia 2018 buat pertama kali. Dia mengalami kecederaan pada Mac lalu sewaktu Everton menewaskan Brighton & Hove Albion. Imbasan ketika itu memaksanya berehat sehingga akhir musim ini.
Sama dengan waktu, Sigurdsson harus terus yakin untuk kembali cergas sebelum Piala Dunia. Fokusnya kini tentu bukan untuk mewakili Everton tetapi untuk bersama Iceland. Ketika ini, dia menjalani proses pemulihan di pusat milik Everton.
Filipe Luis - Retak tulang
Walaupun tidak tersenarai dalam 15 pemain awal yang dipilih Tite untuk skuad Brazil ke Piala Dunia, kemampuan bintang Atletico Madrid ini tidak boleh dinafikan. Sejak 2014, dia sering menyarung jersi skuad Samba tidak kira sewaktu Copa America, kelayakan Piala Dunia atau aksi persahabatan antarabangsa.
Impiannya untuk beraksi di Piala Dunia buat kali pertama terancam kerana dia kini mengalami keretakan tulang fibula sewaktu aksi pusingan kedua Liga Europa antara Atletico dan Lokomotiv Moscow.
Berbeza dengan pemain sebelum ini, peluang untuk pemain berusia 32 tahun ini tampil di Piala Dunia tampak kecil kerana berdasarkan beberapa laporan, proses penyembuhannya memerlukan masa yang lama. Walaupun mungkin dapat sembuh tepat pada waktunya, kebanjiran pemain dalam skuad Brazil juga memberi kesan kepad peluangnya, lebih-lebih lagi selepas Alex Sandro (Juventus) dipanggil mewakil Samba pada Mac lalu.
Joe Gomez - Cedera buku lali
Penampilan hebat bersama Liverpool pada musim ini membolehkan Gomez dipanggil Gareth Southgate untuk menyertai skuad England termasuk pada Mac lalu. Namun, dia mengalami kecederaan buku lali yang teruk sewaktu menentang Belanda.
Bagaimanapun, peluang untuk pemain berusia 20 tahun ini menikmati pentas Piala Dunia yang pertama tampak cerah selepas doktor dari Liverpool mendedahkan proses pemulihannya berjalan lancar. Jurgen Klopp juga mengharapkannya segera pulih memandangkan jadual padat yang dihadapi ketika ini selepas bek tengah, Dejan Lovren, juga mengalami kecederaan sewaktu menang 3-0 ke atas Bournemouth
Adam Lallana - Hamstring
Biarpun waktu permainannya bersama Liverpool agak pendek, namanya tetap disenaraikan England pada Mac lalu. Situasi itu melihatkan peluangnya untuk ke Piala Dunia agak cerah.
Malangnya, pada awal April lalu, Lallana terpaksa menerima rawatan selepas tercedera sewaktu menentang Crystal Palace. Doktor pasukan Liverpool juga memberitahu tahap kecederaan yang dialami tidak begitu teruk dan masih mampu mewakili The Kop sebelum akhir musim ini.
Bagaimanapun, posisinya di Piala Dunia masih belum pasti kerana Southgate ketika ini memiliki banyak pilihan.