Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Nazmi cemerlang menentang PKNS, Cabrera & Safawi beri amaran kepada Novillo

Johor Darul Ta’zim berjaya bangkit semula daripada kekalahan 0-4 di tangan Persija Jakarta tempoh hari dengan kemenangan 3-0 ke atas PKNS FC di Larkin malam ini.

Gonzalo Cabrera membuka tirai jaringan pada babak pertama, sebelum menjaringkan gol keduannya lima minit selepas babak kedua dimulakan. Safawi Rasid kemudiannya menambahkan gol ketiga buat JDT dan sekaligus menumpaskan PKNS untuk terus kekal gah di persada Liga Super Malaysia.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan ketika perlawanan tersebut:

 

DARI 0 KE 100%

Jika persembahan Johor Darul Ta'zim di Jakarta mengecewakan barisan penyokong mereka, malam ini penyokong JDT disajikan dengan aksi yang cukup bertenaga daripada anak buah Raul Longhi. Mereka masih ketagihan seorang penyerang yang lebih berkaliber, namun intensiti yang ditunjukkan oleh pemain JDT malam ini wajar dipuji. Mereka mengawal tempoh perlawanan dan melancarkan serangan bertubi-tubi, selain turut menekan pemain PKNS dengan agresif setiap kali mereka kehilangan bola. Secara keseluruhan, persembahan malam ini jauh berbeza dengan aksi yang kita saksikan di Gelora Bung Karno tempoh hari.

 

SAFAWI, CABRERA BERI AMARAN KEPADA NOVILLO

Memandangkan Johor DT akan diperkuatkan dengan ketibaan pemain sayap, Harry Novillo pada bulan Mei nanti, peranan Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid dalam kesebelasan pertama mula menjadi tanda persoalan yang penting. Novillo dijangka akan mengambil salah satu posisi pemain sayap dalam kesebelasan pertama, sekaligus bermakna Safawi atau Cabrera mungkin terpaksa digugurkan ke bangku simpanan. Namun malam ini, kedua-dua pemain tersebut memghantar amaran yang keras kepada Novillo dengan persembahan yang cukup positif. Cabrera berjaya meledak dua gol, manakala Safawi pula mencatat satu gol dan persaingan ini hanya akan membantu Johor DT mengekang kemaraan pasukan-pasukan lain yang mahu mencabar dominasi mereka di pentas Liga-M.

 

KAWAL RAMAZOTTI UNTUK MENUMPULKAN PKNS

Jika Ramazotti sebelum ini menjadi tunjang jentera serangan PKNS, malam ini dia gagal memberi sebarang impak ke atas perlawanan, sekaligus menumpulkan kebolehan PKNS untuk mencipta peluang untuk menjaringkan gol. Dia dikawal dengan ketat oleh Marcos Antonio dan Fadhli Shas, dan ini membuktikan bahawa mana-mana pasukan yang mahu membunuh momentum PKNS di bahagian serangan boleh berbuat demikian jika berjaya mengekang Ramazotti. Datuk K. Rajagobal perlu mencari variasi untuk memperkuat pasukan mereka bagi perlawanan-perlawanan yang akan datang.

 

NAZMI FAIZ TAMPAK SEMAKIN YAKIN

Jika prestasi Safiq Rahim semakin merisaukan penyokong-penyokong JDT, kebangkitan Nazmi Faiz pula menyejukkan hati mereka semula. Nazmi nampak semakin serasi dan yakin di atas padang, sejak kebelakangan ini dan dia terus memainkan peranan yang besar di bahagian tengah JDT malam ini. Sepanjang babak pertama, kombinasi di antara Hariss, Nazmi dan Insa berjaya membantu pasukan tuan rumah mengawal 'possession' dan Nazmi rajin memberi tekanan ke atas pemain PKNS apabila mereka mula mengawal bola. Bekas bintang Selangor itu masih perlu bekerja keras untuk menunjukkan prestasi ini secara konsisten, namun ini memberi indikasi bahawa JDT mungkin sudah mempunyai calon yang tepat untuk menggantikan Safiq Rahim, apabila kapten JDT itu bersara.

 

ROMEL MORALES LAYAK DIBERI KAD MERAH

Pada minit ke-78 perlawanan, Romel Morales membuat terjahan yang bahaya ke atas Nazmi Faiz, dan insiden tersebut memaksa Johor DT membuat pertukaran untuk mengeluarkan pemain tengah tersebut. Namun, Morales hanya dikenakan kad kuning. Jika anda melihat ulang tayang, terjahan two-footed Morales jelas cukup bahaya dan jika insiden ini berlaku di Eropah, sudah tentu pemain muda itu akan dikenakan kad merah. Insiden sebegini sering berlaku di pentas Liga Super dan para pengadil tempatan perlu mengenakan hukuman yang lebih berat, setiap kali terjahan bahaya seperti ini dilakukan.