Berita Asia

Ketua pasukan Persija mahu rakan sepasukan berjuang mati-matian menentang JDT

Malam ini akan berlangsung perlawanan Piala AFC di antara Persija Jakarta menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Gelora Bung Karno.

Pertemuan dua pasukan serantau ini memang dinanti-nanti bukan sahaja oleh penyokong kedua-dua pasukan, bahkan peminat bolasepak di Malaysia dan Indonesia.

Perlawanan ini sangat penting bagi kedua-dua pasukan kerana ia boleh menentukan siapa yang akan layak ke pusingan seterusnya kerana tiga pasukan, JDT, Persija Jakarta dan Song Lam Nghe An terikat dengan mata yang sama.

Ketua pasukan Persija Jakarta, Ismed Sofyan mahu semua pemain Persija Jakarta yang beraksi pada malam ini akan berjuang habis-habisan.

“Perlawanan ini nanti sangat penting untuk saya dan pasukan. Kerana jika kita menang, kita akan mara ke pusingan seterusnya. Saya harap semua pemain yang diturunkan akan bersedia dari segi fizikal dan mental.”

Bagi ketua jurulatih Persija Jakarta, Stefano Cugurra pula dia mahu anak buahnya beraksi bagus kerana mereka bukan sahaja disokong oleh The Jakmania, tetapi juga seluruh Indonesia.

“Kami memang wajar bermain di peringkat antarabangsa. Pasti ramai penyokong lain dari Indonesia yang akan menyokong kami, kerana kami juga membawa nama Indonesia.”

Persija setakat ini berada di tempat kedua Kumpulan H di belakang JDT. JDT, Persija dan Song Lam Nge An mengumpul tujuh mata selepas masing-masing mencatat dua kemenangan dan tewas sekali. JDT menewaskan Persija Jakarta 3-0 dalam pertemuan pertama mereka di Larkin.