Kajian & Analisis Berita

Barisan pemain Sepanyol yang sudah mula mengambil alih Asia Tenggara

Secara perlahan-lahan, kelompok pemain bola sepak dari Sepanyol mula menjadikan Asia Tenggara sebagai destinasi untuk meneruskan karier. Selepas Dani Guiza, Juan Belencoso, Toni Mossi, dan beberapa nama lain tiba di Asia Tenggara beberapa tahun lalu, nama-nama berikut mula menjadi tonggak utama di pasukan masing-masing bagi saingan 2017/18.

 

Rufino Segovia dan Alfonso De La Cruz 

Nama awal yang sering kami sebut setiap kali bercakap tentang Selangor FA. Rufino adalah penyerang utama Selangor itu sejak 2017. Dia pernah beraksi bersama Atletico Madrid sebelum melanjutkan karier di Asia Tenggara. Rakan sepasukannya, Alfonso, baru sahaja menyertai pasukan pada musim ini. Pemain yang beraksi di tengah ini adalah bekas tonggak kelab-kelab semi-profesional di Sepanyol.

Toni Doblas dan Kolega 

Peminat bola sepak Sepanyol tentunya tidak asing dengan nama Toni Doblas. Bekas penjaga gol Real Betis ketika awal era 2000 ini telah membuka laluan buat pemain dari negaranya ke Filipina. Doblas kini mengemudi gawang Ceres Negros di Filipina dan bermain satu pasukan dengan rakan senegaranya, Bienve Maranon dan Manuel Herrea. Selain itu, terdapat juga Rufo Sanchez di Global Cebu.

Toti (Bangkok Glass)

Daniel Garcia Rodriguez atau Toti telah memperkuatkan skuad Bangkok Glass sejak tahun 2015. Pemain berusia 40 tahun ini pernah beraksi di liga kedua Sepanyol bersama beberapa kelab termasuk Granada dan Alaves.

David Rochela & Sergio Suarez 

Di kelab Thailand, Port FC, terdapat dua pemain dari negara Matador, iaitu David Rochela dan Sergio Suarez. Reputasi Rochela tidak boleh dipandang rendah kerana dia adalah bekas pemain skuad B-19 Sepanyol dan pernah mewakili Deportivo La Coruna. Kini, bek tengah ini memegang lilitan ketua pasukan Port FC sementara Suarez pernah mewakili Las Palmas.

Kiko dan Natxo Insa

Kedua-duanya telah memegang kewarganegaraan Malaysia tetapi tidak boleh dinafikan bahawa adik-beradik Insa ini merupakan pemain kelahiran Sepanyol yang menjadi watak penting di Asia Tenggara. Kiko terlebih dahulu tiba ke Indonesia untuk mewakili Arema FC dan Bali United, sebelum berhijrah ke Malaysia untuk menyertai Pahang dan kini berada di Bangkok Glass. Sementara abangnya, Natxo, tiba di Malaysia tahun lepas dan kini menjadi tonggak utama Johor Darul Ta'zim.

Fernando Rodriguez 

Di Indonesia pula, Mitra Kukar mempunyai Fernando Rodriguez. Dia pernah mewakili Sevilla dan kini sudah menyumbat dua gol di Liga 1. Selain Rodriguez, Mitra Kukar juga menggunakan khidmat pengendali dari Sepanyol, Rafael Berges, serta pernah mempertaruhkan khidmat Jorge Gotor yang juga dari negara Eropah itu.

Pablo Pallares 

Seorang lagi penyerang Sepanyol yang bermain di Malaysia adalah Pablo Pallares, pemain yang pernah mewakili Almeria dan Huesca sebelum berhijrah ke Malaysia pada awal 2018. Penyerang berusia 31 tahun ini kini menjadi taruhan Kedan di depan gol.