Asia Berita

JDT sedia berdepan The Jakmania, Aidil tetap waspada ancaman Simic

Kami tidak akan gentar dengan The Jakmania.

Itu yang dikatakan oleh ketua pasukan JDT, Aidil Zafuan menjelang perlawanan bertemu Persija di stadium keramat mereka, Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta malam ini.

Setiap perlawanan Persija dipenuhi penyokong mereka yang digelar The Jakmania, dan khabarnya malam ini mereka akan memecahkan rekod kehadiran ke stadium.

“Kelebihan ada di pihak Persija kerana sokongan padu penyokong mereka. Setakat ini saya tau mereka lebih daripada 60,000 ke 70,000 orang. Sebagai seorang pemain, sememangnya bermain di depan penyokong seramai itu boleh memberi kesan.

“Tetapi bagi kami di JDT, kami biasa beraksi di depan ramai penyokong biarpun tidak seramai penyokong Persija.”

Bagi ketua jurulatih JDT, Raul Longhi, bermain di depan penyokong yang ramai dengan atmosfera sebegitu boleh memberikan pengalaman baru kepada anak buahnya.

“Ramai penyokong yang hadir itu bagus. Itu bagus untuk bolasepak. Pemain kami juga boleh mendapat pengalaman baru.”

Dalam perlawanan pertama, penyerang import Persija Jakarta, Marko Simic tidak beraksi. Namun bagi perlawanan ini, dia sedia diturunkan terutamanya kerana kedua-dua pasukan mahukan kemenangan.

“Saya tahu Persija tidak menurunkan Marko Simic dalam perlawanan di Larkin. Kami tahu dia penyerang yang bagus untuk Persija, tetapi kami mahu menang untuk memastikan tempat kami selaku pendahulu kumpulan,” tambah Longhi.

Adakah anak buah Raul Longhi mampu menahan asakan Marko Simic dan The Jakmania malam ini? Semuanya akan terjawab apabila wisel permainan ditiup.