Jadual skuad futsal lelaki dan wanita Indonesia cukup padat. Pada bulan Mei, pasukan wanita akan beraksi di pentas Kejohanan Futsal Wanita AFC 2018, sementara skuad lelaki akan melakukan penampilan di Kejohanan Futsal AFF 2018, empat bulan kemudian.
Laluan ke kedua-dua kejohanan itu melibatkan beberapa aksi kelayakan dan mereka telah mendapatkan seorang jurulatih baru, Kensuke Takahashi. Jurulatih berusia 35 tahun yang sempat menjadi tonggak utama skuad futsal Jepun itu didapatkan oleh PSSI untuk menggantikan Vic Hermans, jurulatih berasal Belanda yang telah tamat kontraknya.
Penampilan Takahashi sudah pasti diterima pencinta futsal Indonesia dengan baik. Walaupun masih muda, pengetahuannya dalam dunia futsal tentunya lebih luas berbanding jurulatih yang lebih senior. Sebelum mengemudi skuad Indonesia, jurulatih yang lahir di Hokkaido ini pernah menjadi ketua jurulatih kelab futsal dari Jepun, Bardral Urayasu.
Selain itu, berdasarkan Bolalob, Takahashi juga pernah mengendalikan Vamos Mataram dan Mataram FC pada 2016. Justeru, perkara itu sedikit sebanyak membantunya, terutama dalam mengenali pemain-pemain skuad lelaki.
Karier Takahashi sewaktu bergelar pemain juga agak hebat. Dia pernah beraksi di Liga Futsal Sepanyol bersama Caja Segovia dan Guadalajara dari tahun 2008 hingga 2011. Ketika itu, Takahashi muncul sebagai pemain pertama yang beraksi di peringkat tertinggi liga futsal di Sepanyol. Selain itu, dia juga melakukan penampilan sebanyak 60 kali bersama skuad kebangsaan Jepun, termasuk beraksi ketika Piala Dunia Futsal di Taiwan 2004 dan Thailand 2012.
Bagaimanapun, kini dia berdepan tugas berat di Indonesia, kerana bukan satu tetapi tiga pasukan menjadi tanggungjawabnya, termasuk skuad B-20. Namun, dia tetap melaungkan keyakinan untuk komited dalam menjalankan tugasnya buat kem futsal Indonesia.
“Saya ingin membantu skuad Indonesia mencapai kejayaan. Saya juga ingin menjadikan pasukan Indonesia sebagai satu kebanggaan penduduk di sini, beraksi secara kompetitif di peringkat Asia,” kata Takahashi kepada Bolalob.
Berbekal pengalaman yang cukup, tentunya khidmat Takahashi diharapkan mampu menyuntik kemampuan taktikalnya kepada pasukan Indonesia melalui caranya tersendiri.