Semakin hampir dengan Piala Dunia, semakin banyak isu timbul.
Ekoran serangan ejen saraf perisik Russia di Britain, banyak negara sudah menyuarakan kebimbangan dan bantahan mereka.
Selepas wakil-wakil kerajaan Iceland menyatakan bahawa mereka tidak akan menghadiri Piala Dunia 2018 sebagai bantahan terhadap serangan tersebut, kini giliran Australia pula menyuarakan bantahan mereka.
Kerajaan Australia akan mengusir dua diplomat dan mungkin juga bakal memboikot terus Piala Dunia 2018.
“Bersama United Kingdom dan rakan sejawat lain, Australia akan mengambil tindakan sebagai tindak balas kepada serangan ejen saraf di Salisbury, UK,” kata Perdana Menteri Australia, Malcolm Turbull dalam satu kenyataan.
“Dua diplomat Russia sudah dikenalpasti sebagai pegawai perisik yang tidak diisytiharkan akan diusir keluar oleh kerajaan Australia ke atas tindakan tidak konsisten terhadap status mereka seperti apa yang termaktub dalam konvensyen Vienna.”
Menteri Luar Australia, Julie Bishop turut menyatakan kemungkinan untuk Australia memboikot Piala Dunia 2018.
“Terdapat banyak pilihan untuk mengambil tindakan. Memboikot Piala Dunia adalah salah satu tindakan yang boleh diambil untuk isu ini.
Namun, bagi Persatuan Bolasepak Australia, penyertaan mereka ke Piala Dunia masih berjalan seperti dirancang.
“Setakat ini, semua pasukan yang layak, termasuk England, akan mengambil bahagian di Piala Dunia dan itu terus menjadi keutamaan kami.”