Kolum Luar Negara

Nayim: Bagaimana bekas bintang Spurs ini menjadi pemain beragama Islam pertama di EPL

Pada tahun 2013, wartawan BBC, Rob Crowling, menyebut bahawa Islam telah mengubah corak permainan bola sepak tidak kira sama ada di England atau secara global. Banyak perubahan serta adaptasi yang dilakukan oleh sesebuah kelab disebabkan kehadiran pemain Muslim dan pemain-pemain juga perlu menyesuaikan diri dengan situasi tertentu dalam pasukan.

Ibadah puasa dalam bulan Ramadan adalah antara keadaan yang paling ketara kerana ramai pemain Muslim yang tetap memilih untuk meneruskan ibadah tersebut termasuk ketika hari perlawanan. Keputusan mereka untuk tidak terlibat dengan mana-mana tajaan melibatkan syarikat arak atau judi juga semakin meluas, disertakan dengan aksi meraikan jaringan dengan gaya sujud.

Beberapa pasukan di Liga Perdana Inggeris (EPL) kini dimiliki oleh ramai ahli perniagaan dari Timur Tengah yang beragama Islam. Seperti diketahui, banyak stadium di England kini mula dilengkapi dengan kelengkapan untuk beribadah buat pemain-pemain Muslim. Bahkan, bintang Manchester United dari Perancis, Paul Pogba, juga seorang Muslim.

Mohamed Ali Amar atau lebih dikenali dengan nama Nayim, adalah pemain Muslim pertama yang melakukan penampilan di pentas EPL. Selepas dia memulakan sejarah itu, hampir 50 orang pemain Muslim kini telah beraksi di England.

Wakil La Masia yang berkelana di Tottenham Hotspur

Kredit Foto: Getty Images

Nayim merupakan pemain kelahiran Cueta, Sepanyol. Wilayah itu tidak jauh dari Afrika Utara, jadi sememangnya ramai warga di situ yang turut sama berketurunan seperti itu. Nayim adalah salah seorang anak Cueta yang berdarah Maghribi. Bahkan, Cueta sendiri mempunyai nama dalam dialek Arab iaitu Sabtah.

Ketiak berusia 12 tahun, Nayim meninggalkan Cueta untuk berhijrah ke La Masia. Dia menyerta akademi muda Barcelona dari tahun 1979 sehingga 1985 dan berjaya memecah masuk skuad senior Blaugrana pada tahun 1988. Antara rakan sepasukannya ketika itu adalah pengendali Manchester City, Pep Guardiola, serta ketua jurulatih Indonesia, Luis Milla.

Nayim datang ke England pada November 1988 menerusi tiket pinjaman dari Camp Nou. Selepas aksi yang hebat, Spurs bersetuju untuk menjadikan kontraknya sebagai perjanjian tetap. Selepas menandatangani yuran perpindahan berjumlah 400 ribu paun, ia meletakkannya dalam golongan pemain elit dengan yuran perpindahan yang agak tinggi.

Musim seterusnya menyaksikan Nayim terus cemerlang. Bermain sebagai pemain tengah dan bergandingan bersama Paul Gascoigne, mereka berjaya membawa Spurs menjuarai Piala Liga bagi musim 1990/91.

Lima tahun berada di England membolehkan Nayim menikmati waktunya sebagai pemain. Dia kekal sehingga bersama Spurs sehingga 1993, tahun dimana bermulanya era liga moden England, EPL. Aksi terakhirnya buat Spurs adalah ketika mencatat hatrik dalam aksi Piala FA menentang Manchester City.

Walaupun Nayim muncul sebgai pemain Muslim pertama yang berkelana dalam saingan EPL, tidak ramai yang maklum mengenainya memandangkan dia lebih dikenali di Sepanyol.

Kredit Foto: Getty Images

Naim kembali ke Sepanyol untuk menyertai Real Zaragoza dengan nilai 500 ribu paun dan dia mula mencipta nama di sana. Antara detik yang menyebabkan namanya dikenali sehingga kini adalah jaringan pada lewat permainan dalam aksi Piala Juara-Juara menentang Arsenal pada tahun 1995. Lebih menarik, gol itu dijaringkan dari jarak 40 meter menewaskan penjaga gol Gunners, David Seaman.

Selepas menikmati musim pertama hebat bersama Zaragoza dengan merangkul gelaran juara Piala Juara-Juara, Nayim turut menjulang pasukannya dengan gelaran Piala Super Sepanyol. Menjelang Piala Dunia 1998, Nayim meninggalkan Zaragoza untuk ke Logrones dan meneruskan karier sehingga bersara pada tahun 2000.

Dia sempat merasai status sebagai jurulatih ketika menyertai skuad kejurulatihan Marcelino Gracial Toral sewaktu mengendalikan Real Zaragoza.

Pada Mei 2016, Nayim telah kembali ke kampong halamannya untuk memberikan khidmat kepada pasukan kelahiran, AD Cueta FC, dan bertindak sebagai pengarah sukan.