Malaysia

Ini nasihat TMJ kepada pasukan Liga-M yang mengugut untuk tarik diri

“Sekiranya ada pasukan mahu tarik diri, silakan.”

Itu nasihat Tunku Ismail kepada MISC-MIFA, pasukan yang baru-baru ini membuat ugutan untuk menarik diri daripada Liga-M, atas denda berat yang dikenakan oleh FMLLP.

MIFA merupakan antara enam pasukan Liga-M yang dikenakan hukuman oleh FMLLP, selepas gagal melengkapkan dokumen pendaftaran mengikut ‘timeline’ yang diberikan. Namun, pihak pengurusan MIFA berpendapat bahawa RM500,000 merupakan jumlah yang tidak rasional.

“Jika mereka mahu mengenakan denda seperti ini, tidak guna kami membentuk sebuah pasukan,” kata Mohan ketika majlis ikrar MIFA menentang rasuah dan dadah di Kuala Lumpur hari ini.

“Kami bukannya mahu meraih keuntungan tetapi membangunkan bola sepak dalam komuniti ini dan melahirkan pemain untuk negara.

“Memandangkan kami bukan kelab yang menjana banyak wang, adalah lebih baik kami mengundur diri jika mereka mahu mendenda kami sebanyak ini,” kata Presiden MIFA, Datuk T Mohan kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, TMJ tegas menyatakan bahawa hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan enam pasukan Liga-M tersebut, dan dia turut mendedahkan bahawa kesemua pasukan masih boleh membuat rayuan kepada FMLLP.

“Saya bercakap bukan sahaja atas kapasiti Presiden FAM malah selaku Pengerusi FMLLP. Denda tetap kena denda, malah pasukan yang kena denda ada masa untuk membuat rayuan dan kami akan pertimbangkan.

“Apapun, kami akan mengkaji rayuan dan alasan yang dikemukakan. Tunggu sahaja keputusan kerana denda yang dikenakan mungkin kurang.

“Baru-baru ini saya difahamkan terdapat kes laporan semua sudah lengkap tetapi bendahari tidak hantar. Itu bukan salah saya dan ia menunjukkan betapa kelemahan pengurusan pasukan dan pastinya sukar untuk menguruskan kelab atau persatuan negeri,” tambah Tunku Ismail.