Tiada hukuman atau denda.
Kesemua pasukan yang tidak melengkapkan pendaftaran atau menghantar pendaftaran pemain lewat dari masa yang ditetapkan terselamat dari dikenakan hukuman.
Sebelum ini pasukan Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor, PKNS FC, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKUM FC didapati tidak melengkapkan pendaftaran atau menghantar dokumen pendaftaran melepasi tarikh akhir.
Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam menjelaskan, pihaknya akan menangguhkan hukuman tersebut sehingga tempoh pendaftaran pemain baru musim depan, iaitu hujung tahun ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan dalam satu kenyataan Facebook peribadinya bersyukur kerana masih diberi peluang dan berjanji akan menyelesaikan perkara tersebut.
“Terima kasih kepada pihak FMLLP kerana telah memberi ruang dan peluang kepada Kelantan FA yang merupakan salah satu antara pasukan terlibat di mana ruang rayuan ini saya sendiri akan ambil alih tanggungjawab kakitangan yang terlibat dalam melengkapkan dokumen supaya saya dapat pastikan apa yang betul-betul belum lengkap.”
Penangguhan ini diharap tidak membuatkan pasukan-pasukan menjadi sambil lewa dan mengulangi kesilapan yang sama. FAM dan FMLLP perlu memastikan hukuman lebih berat kepada pasukan yang membuat kesilapan yang sama.
Bagi pihak pengurusan pasukan pula, perlu lebih tersusun dan mengambil berat, terutamanya berkenaan perkara penting seperti dokumen pendaftaran pemain ini. Jika perkara penting ini pun boleh terlepas pandang, memang liga dan kelab di Malaysia akan kekal di takuk yang sama.