Liga Super Malaysia

“Kemenangan Piala FA akan naikkan semangat kami” – Achmad Jufriyanto

Pemain pertahanan Kuala Lumpur, Achmad Jufriyanto yakin kemenangan City Boys ke atas Kuching FA dalam saingan Piala FA dapat membantu mereka untuk bangkit semula dalam saingan Liga Super.

Kuala Lumpur menewaskan Kuching FA 4-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada malam tadi menerusi jaringan hatrik Guilherme De Paula dan satu gol jaringan Paulo Josue.

“Saya rasa bersyukur kerana berjaya menang. Kuching FA memberikan saingan kepada kami walaupun mereka bermain di Liga FAM.

“Saya rasa kemenangan ini sudah semestinya mampu membantu untuk menaikkan semangat kami, bukan sahaja dalam saingan Piala FA, tetapi juga untuk Liga Super.”

Ketika ditanya adakah Kuala Lumpur mampu pergi lebih jauh dalam saingan Piala FA ini, bekas ketua pasukan Persib Bandung itu tidak mahu terlalu dibuai kemenangan dan kekal fokus bagi setiap perlawanan.

“Buat masa ini, kami tidak mahu memandang terlalu jauh. Kami perlu fokus satu demi satu perlawanan.”

Jufriyanto akan bertemu rakan senegaranya, Andik Vermanysah apabila Kuala Lumpur bakal menerima kunjungan Kedah pada minggu hadapan dalam saingan Liga Super.