Dua kelab yang mengalami masalah prestasi pada musim ini nampaknya akan bersaing untuk mendapatkan bekas pemain mereka sebagai pengurus pasukan musim hadapan.
Arsenal dan Everton yang sedang bergelut menunjukkan prestasi terbaik dikhabarkan akan berminat untuk mendapatkan bekas pemain mereka, Mikel Arteta menjadi pengurus pasukan mereka.
Arteta yang kini menjadi pembantu kepada Pep Guardiola di Manchester City telah menarik kedua-dua pasukan ekoran persembahan hebat City musim ini.
Hasil kerja Arteta diperhatikan oleh pihak pengurusan Arsenal dan mereka bersedia untuk melepaskan Arsene Wenger lebih awal daripada kontrak asalnya iaitu selama dua tahun.
Arsene Wenger sendiri juga sebelum ini pernah menyatakan bahawa Arteta adalah calon yang sesuai untuk menggantikannya di Arsenal.
Bagi Everton pula, mereka sudah bersedia untuk mencari calon baru selepas the Toffees menunjukkan aksi hambar di bawah kendalian Sam Allardyce. Everton mengambil bekas pengurus England itu selepas memecat Ronald Koeman ekoran permulaan hambar Everton.
Everton atau Arsenal, kedua-duanya akan menjadi langkah besar dan berisiko buat Arteta. Dua kelab yang mahukan kejayaan dan sudah sekian lama tidak bersaing merebut kejuaraan, pastinya tekanan agak tinggi.
Mampukah Arteta yang belum pernah mempunyai pengalaman sebagai pengurus pasukan utama memikul tugas di Everton atau Arsenal? Biarpun Arteta mendapat sokongan daripada Wenger dan Pep Guardiola yang mengatakan dia adalah antara jurulatih muda yang perlu diberi perhatian, tekanan menjadi pengurus pasukan di Liga Perdana Inggeris sangat berbeza.
Adakah Arteta sanggup mengambil risiko tersebut? Adakah tepat tindakan Arsenal dan Everton mahukan Arteta? Kita perlu tunggu musim hadapan untuk mengetahuinya.