AFC Cup

Safiq tidak mahu pandang rendah Persija

Pemain tengah JDT, Safiq Rahim menggesa agar rakan sepasukannya tidak mengambil mudah cabaran Persija Jakarta dan tidak mengulangi kesilapan mereka ketika menentang Kuala Lumpur.

Memetik laporan The Star, Safiq mahu JDT kekal fokus bagi membolehkan JDT menewaskan kelab Liga 1 Indonesia itu.

“Kekalahan sebelum ini perlu menjadi pengajaran untuk pasukan kami bermain lebih baik dalam perlawanan seterusnya.

“Persija sudah 16 tahun tidak beraksi di Piala AFC, jadi kami tidak boleh memandang rendah mereka. Ianya penting untuk JDT kekal fokus.”

JDT pastinya mahu menebus kekecewaan mereka gagal ke saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini dan cuba merebut kembali trofi Piala AFC yang pernah mereka menangi pada tahun 2015.

Kali terakhir Persija Jakarta beraksi di Piala AFC adalah pada tahun 2001-02 dan mereka tewas 4-1 di pusingan awal kepada Kashima Antlers.