Malaysia Liga Super Malaysia

Andik Vermansyah sah menyarung jersi Helang Merah?

Bintang bolasepak Indonesia, Andik Vermansyah dikatakan hampir pasti menyertai Kedah selepas gambar beliau menyarung jersi skuad Helang Merah mula viral di media sosial malam ini.

Menurut pelbagai spekulasi, bekas pemain Selangor itu kini berada di Alor Setar untuk melengkapkan perpindahannya ke Kedah, dan dijangka akan diturunkan apabila mereka berdepan dengan PKNP pada hujung minggu ini.

Pemain sayap itu sebelum ini bermain untuk Selangor selama empat tahun, dan memainkan peranan yang penting dalam membantu mereka memenangi Piala Malaysia pada tahun 2015.

Namun, Andik dibelenggu dengan masalah kecederaan sepanjang dua tahun lepas, sebelum akhirnya dilepaskan oleh pihak pengurusan Selangor pada penghujung 2017.

Sejak itu, dia dikaitkan dengan beberapa kelab Indonesia, termasuk kelab lamanya, Persebaya Surabaya. Selepas perpindahan tersebut gagal, Andik dikaitkan dengan Persib Bandung pula. Walau bagaimanapun, dia kini dijangka akan memperkuat pasukan Kedah, yang masih belum meraih sebarang mata di pentas Liga Super 2018 setakat ini.