Malaysia Liga Super Malaysia

Natxo Insa bantu Johor DT jinakkan PKNP untuk raih kemenangan kedua

Johor Darul Ta’azim berjaya mendapatkan kemenangan kedua dalam Liga Super 2018 selepas menjinakkan skuad PKNP 3-0 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos malam ini.

Selepas Pereyra Diaz membuka tirai jaringan pada babak pertama, dua lagi gol daripada Fadhli Shas dan Natxo Insa akhirnya menghadiahkan tiga mata berharga yang menjadikan JDT pendahulu Liga Super dengan enam mata daripada dua perlawanan.

ULISSES MORAIS MEMBUAT ‘ROTATION’

Pengendali JDT, Ulisses Morais membuat beberapa pertukaran untuk perlawanan ini, dengan Hazwan Bakri menggantikan Gonzalo Cabrera di bahagian serangan, manakala Adam Nor Azlin pula diberi peluang membuat penampilan pertama di bahagian pertahanan JDT. Haziq Nadzli turut dibawa masuk sebagai penjaga gol untuk perlawanan malam ini.

Bagi PKNP pula, Abu Bakar Fadzim mengekalkan kebanyakkan pemain yang membantu mereka menewaskan Negeri Sembilan tempoh hari dan bintang Cambodia mereka, Keo Sokpheng sekali lagi dijadikan tonggak utama di jentera serangan.

PKNP BERMAIN SECARA DEFENSIF

Dari minit pertama, agak jelas bahawa PKNP menggunakan corak taktikal yang defensif. Barisan tengah mereka bermain dengan ‘compact’ dan ini membantu mereka mengekang segala kemaraan JDT dalam 25 minit pertama, meskipun pasukan tuan rumah mengawal tempo perlawanan.

Malangnya, Jorge Pereyra Diaz berjaya membuka tirai jaringan pada minit terakhir separuh masa pertama, selepas dibantu oleh sentuhan menarik Natxo Insa. Gol tersebut memaksa PKNP bermain dengan lebih positif di babak kedua, sekaligus memberi peluang kepada JDT untuk merobek bahagian pertahanan mereka dengan serangan bertubi-tubi.

Fadhli Shas menghasilkan gol kedua untuk JDT pada minit ke-57, selepas menanduk masuk hantaran yang cukup baik daripada Safiq Rahim. Dan skuad Morais akhirnya mendapatkan satu lagi gol pada minit terakhir perlawanan, melalui percubaan ‘grounder’ Natxo Insa.

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN

Jika Corbin-Ong tampil dengan aksi cemerlang ketika JDT menentang Kedah tempoh hari, Natxo Insa pula mengambil baton tersebut malam ini. Bekas pemain Levante ini cukup tenang sepanjang 90 minit, meskipun berdepan dengan pasukan yang memilih untuk meletakkan enam orang, termasuk pemain tengah, dihadapan gawang gol mereka. Itu menjadi faktor penting yang akhirnya membantu JDT melepasi pertahanan kebal PKNP. Dari segi statistik pula, Insa berjaya menjaringkan satu gol dan mencatat satu ‘assist’ malam ini.

LANGKAH SETERUSNYA

Dengan enam mata daripada dua perlawanan pertama, JDT akan bergerak ke ibu negara untuk menentang Kuala Lumpur dalam perlawanan ‘away’ pertama mereka pada hari Sabtu akan datang. Manakala PKNP pula akan berdepan dengan satu lagi cabaran besar apabila mereka menerima kunjungan Ramon Marcote dan pemain Kedahnya di Stadium Batu Kawan pada hari Ahad.