Malaysia Liga Super Malaysia

PKNP 1-0 Negeri Sembilan: Keo Sokpheng bantu anak buah Burn lakar sejarah di Batu Kawan

PKNP berjaya mencipta sejarah tersendiri di Stadium Batu Kawan petang tadi selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0 untuk meraih kemenangan pertama mereka di pentas Liga Super.

Pertembungan petang tadi merupakan ‘debut’ mereka di pentas Liga Super dan anak buah Abu Bakar Fadzim tampil dengan aksi yang kukuh untuk mencatat permulaan positif untuk musim mereka.

Kedua-dua pasukan mempunyai pelbagai peluang untuk menjaringkan gol sepanjang 90 minit, namun gol tunggal PKNP, melalui pemain import mereka dari Cambodia, Keo Sokpheng, akhirnya menjadi faktor yang membezakan kedua-dua pasukan pada penghujung perlawanan.

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN?

Beberapa nama daripada kedua-dua pasukan menarik perhatian kami sepanjang perlawanan tadi, namun impak Keo Sokpheng terhadap perlawanan ini tidak boleh dinafikan. Bintang Cambodia itu mengemudi jentera serangan PKNP dengan aktif, dan sering membuat larian-larian yang penting demi mencari ruang.

Keo juga menunjukkan tahap kegigihan yang tinggi dan perkara tersebut membantu PKNP meletakkan tekanan ke atas barisan tengah dan pertahanan Negeri Sembilan. Gol beliau turut merupakan gol pertama yang dijaringkan oleh seorang pemain Cambodia di kancah Liga-M.

LANGKAH SETERUSNYA?

Kemenangan ini bermakna PKNP akan berkunjung ke Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos dengan tahap keyakinan yang tinggi pada hari Selasa depan untuk berdepan dengan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’azim. Manakala Negeri Sembilan pula akan kembali beraksi di Paroi dengan skuad Kuala Lumpur sebagai lawan mereka.