Masih ingat kepada Kazuyoshi Miura?
Tahun lepas, pemain ini memecah rekod dunia selepas menjadi pemain tertua untuk beraksi di atas padang bersama Yokohama FC. Dia berumur 50 tahun ketika itu.
Namun, rekod tersebut akan dipecahkan sekali lagi tahun ini kerana Miura telah secara rasmi menandatangani kontrak baru selama satu lagi tahun bersama Yokohama FC.
“Saya sudah menandatangani kontrak baru untuk musim depan. Saya selalu bermain dengan hati saya, dan saya berharap ini akan memberi peluang untuk saya terus berkembang sebagai seorang pemain bola sepak,” kata Miura kepada Kyodo News.
Kontrak baru ini bermakna Miura akan memasuki tahun ke-33 sebagai seorang pemain bola sepak. Walaupun membesar di Jepun, Miura memulakan kariernya bersama Santos di Brazil sebelum bermain untuk beberapa kelab lain di sana.
Dia pulang ke Jepun pada tahun 1990 dan sejak itu, sudah pernah menyarung jersi kelab-kelab seperti Tokyo Verdy, Vissel Kobe dan Yokohama FC. Dari tahun 1990 hingga 2005, Miura juga pernah bermain dengan beberapa kelab luar negara seperti Genoa (1994) dan Dinamo Zagreb (1999)
Selain memegang rekod pemain tertua dalam sejarah bolasepak, Miura turut merupakan penjaring tertua dalam sejarah selepas dia berjaya menewaskan rekod Sir Stanley Matthews tahun lepas.