Brendan Gan telah mengesahkan bahawa dia akan bermain untuk pasukan Perak pada tahun depan dan dia tidak sabar untuk menyarung jersi The Bos Gaurus apabile musim baru Liga Super bermula.
Pengumuman ini dibuat melalui akaun rasmi Instagram Brendan, selepas Perak mengesahkan perpindahan tersebut minggu lepas.
“Saya tidak sabar untuk menetap di bandar ini dan membantu sebuah skuad yang dipenuhi dengan pemain dan barisan kejurulatihan yang cukup baik untuk mengecapi kejayaan tahun depan,” kata Brendan.
“Saya tak pernah sangka semangat saya untuk sukan ini akan meningkat tapi sejak saya dipaksa menempuhi segala cabaran yang dialami akibat kecederaan, sekarang saya lebih bersemangat untuk turun beraksi di atas padang.
“Terima kasih kepada semua orang yang memainkan peranan dan membantu proses pemulihan saya sejak satu tahun lepas,” tambah Brendan.
Brendan dijangka akan bermain di bahagian ‘midfield’ bersama dengan Leandro Dos Santos, salah satu pemain import dari Brazil yang dikekalkan dari musim 2017. Selain Leandro, Gilmar juga turut dikekalkan oleh ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.