Francesco Totti mengumumkan akan memulakan cabaran baharu dalam kerjayanya dengan memegang jawatan sebagai pengarah di kelab tersebut.
Pemain berusia 40 tahun itu bermain dalam perlawanan terakhirnya bersama Roma, Mei lalu selepas 24 tahun berkhidmat dengan kelab itu dan membuat keputusan untuk bersara biarpun dikaitkan dengan perpindahan ke Asia serta Amerika Syarikat.
“Bahagian pertama kehidupan saya sebagai pemain bola sepak sudah berakhir dan kini ada satu lagi bahagian penting yang akan bermula.
“Sehingga 28 Mei, saya hanya fikir untuk bermain bola sepak dan menyumbangkan sesuatu kepada pasukan. Kini, saya mahu buka buku baharu.” tulis Totti menerusi akaun Facebook miliknya.
Sebagai rekod, Totti secara keseluruhannya telah membuat penampilan sebanyak 786 perlawanan untuk Roma selepas menyertai kelab itu sejak zaman remaja pada tahun 1989.
Bekas pemain Itali itu juga telah meledak 307 gol ketika bersama kelab dan turut memenangi Piala Dunia 2006 bersama Itali.
Bekas pemain tengah menyerang itu akan bekerjasama dengan Pengarah Sukan Roma baharu, Monchi yang dikatakan enggan memberikan dia kontrak sebagai pemain dan baru-baru ini melantik Eusebio di Francesco sebagai jurulatih.
“Saya mempunyai sejarah selama 25 tahun bersama Roma. Permulaan fasa baharu dan cabaran baharu kini akan bermula, saya mahu menjadi watak penting kepada Roma,” ujarnya – AFP