Other Editions

FMLLP Pulangkan 3 Mata Pasukan Kelantan, 2 Lagi Rayuan Ditolak

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) telah menghantar surat bertarikh 8 Jun 2017 yang merupakan rayuan kedua selepas rayuan pertama KAFA yang dibuat melalui surat bertarikh 29 Mei 2017 bernombor rujukan PBK:15(82)/13/abh.

Rayuan pertama KAFA tidak dapat dipertimbangkan atas sebab rayuan yang dibuat tidak mengikut prosedur, kegagalan mengemukakan surat-surat penyelesaian tunggakan daripada agensi-agensi berkaitan dan KAFA tidak memberi sebarang bukti bahawa langkah-langkah proaktif telah diambil untuk menyelesaikan isu ini. Tambahan pula, rayuan pertama pihak KAFA hanya merupakan rayuan untuk meringankan pemotongan 6 mata perlawanan dan tiada rayuan dibuat untuk KAFA dibenarkan mendaftar pemain asing baru atau untuk diberikan masa supaya KAFA boleh menyelesaikan tunggakan-tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN.

Rayuan kedua KAFA untuk meringankan pemotongan 6 mata, untuk dibenarkan mendaftar pemain asing baru dan untuk diberikan masa supaya boleh menyelesaikan tunggakan-tunggakan telah dibawa ke perhatian Lembaga Pengarah Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) untuk dipertimbangkan.

Rayuan kedua ini dapat dipertimbangkan kerana pihak KAFA telah mengambil langkah proaktif untuk berjumpa dengan pihak FMLLP pada 5 Jun 2017 tentang isu pendaftaran pasukan dan juga rayuan kedua ini telah diiringi dokumen-dokumen sokongan. Oleh kerana usaha-usaha pihak KAFA, sekretariat FMLLP telah mengemukakan rayuan KAFA kepada Lembaga Pengarah FMLLP.

Pertimbangan sewajarnya telah diberi kepada usaha pihak KAFA untuk melangsaikan tunggakan-tunggakan yang sedia ada melalui dokumen-dokumen yang dihantar kepada FMLLP pada 8 Jun 2017.

Dalam mempertimbangkan rayuan pihak KAFA serta dokumen-dokumen yang telah dihantar sebagai lampiran dalam rayuan tersebut (seperti perenggan di atas), pihak FMLLP telah mendapati bahawa walaupun pihak KAFA sedang cuba menyelesaikan isu tunggakan bagi membolehkan pihak KAFA melengkapkan pendaftaran pasukan seperti yang diperlukan, pendaftaran pasukan Kelantan pada masa rayuan dibuat pada 8 Jun 2017 masih belum lengkap atau masih tidak dapat dilengkapkan.

Oleh itu, Lembaga Pengarah FMLLP telah memutuskan seperti berikut;

i. Permintaan pertama pihak KAFA berkenaan jumlah pemotongan mata.

Diputuskan bahawa jumlah mata yang dipotong akan dikurangkan kepada 3 mata perlawanan. Keputusan ini telah dibuat berdasarkan usaha pihak KAFA untuk melengkapkan pendataran pasukan dengan mengemukakan pelan pembayaran untuk jumlah-jumlah yang tertunggak.

ii. Permintaan kedua KAFA berkenaan pendaftaran pemain baru.

Diputuskan bahawa sekatan perpindahan yang dikenakan kepada pasukan Kelantan akan tetap berkuasa dan perpindahan ini tidak dibenarkan kerana pihak KAFA masih gagal memenuhi kriteria-kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran untuk sekatan ini dimansuhkan. Pihak FMLLP juga tidak dapat memberikan kelulusan budibicara ke atas permintaan pihak KAFA ini atas sebab perpindahan ini tidak membawa impak yang amat positif kepada kedudukan kewangan pihak KAFA.

iii. Permintaan ketiga pihak KAFA berkenaan masa dan ruang untuk menyelesaikan tungakkan-tungakkan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN.

Seperti yang dimaklumkan dalam surat peringatan pada 27 Januari 2017 dan dalam surat hukuman pada 2 Mei 2017, FMLLP kekal dengan keputusan untuk memberi pihak KAFA sehingga 31 Oktober 2017 untuk menyelesaikan tungakkan-tungakkan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN yang akan membolehkan pihak KAFA memuatnaik dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran pasukan. Jika KAFA gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari terakhir musim 2017 iaitu 31 Oktober 2017, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan KAFA ke divisyen yang bawah daripada divisyen di mana KAFA sepatutnya bertanding untuk musim 2018.

FMLLP berharap agar pihak KAFA akan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan. FMLLP memohon agar KAFA melengkapkan proses pendaftaran dengan mengemukakan surat penyelesaian gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN kepada FMLLP secepat mungkin.