Dalam sesebuah perlawanan bolasepak akan ada seseorang yang seringkali akan menjadi tumpuan penyokong baik di stadium mahupun di hadapan kaca televisyen iaitu “Si Baju Hitam” atau lebih tepat pengadil.
Akhir-akhir ini, masalah mutu pengadilan Liga Malaysia seringkali menjadi pertikaian dan isu hangat oleh para penyokong pasukan masing-masing. Boleh kata, hampir setiap hari perlawanan akan ada sahaja benda yang tak kena dengan mutu pengadilan. Terlalu banyak keputusan pengadil yang mencetuskan kontroversi lalu menjadi bualan baik di kedai kopi mahupun di laman sosial.
Dari insiden ‘retaliation’ Rizal Ghazali terhadap Fakhrurazi Musa sehingga kes Afiq Fazail dan Nazmi Faiz , isu ini berlarutan sehingga memaksa Subkhiddin Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil untuk memberi penjelasan mengenai insiden-insiden yang berlaku terhadap para penyokong. Namun apa yang menyedihkan masih ada lagi dalam kalangan kita mempertikaikan apa yg dijelaskan oleh seseorang yang amat disegani oleh pengadil-pengadil di luar sana.
Artikel ini bukan untuk membincangkan insiden-insiden yang terjadi, tapi lebih kepada “self-reflection” untuk kita golongan penyokong pasukan Liga Malaysia. Siapa saja yang mahu pasukan kesayangan mereka kalah? Tak ada. Cuma apa yang saya rasa terkilan adalah apabila kita terlalu menyalahkan pegawai perlawanan apabila keputusan perlawanan tidak memihak kepada pasukan kesayangan kita. Seolah-olah hanya pegawai perlawanan sahaja yang jadi faktor tentukan keputusan perlawanan tersebut. Walhal ada beberapa faktor juga yang menyebabkan perlawanan berakhir dengan keputusan sebegitu.
Sebelum kita meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap pengadil dan penolong-penolongnya, kita harus faham kenapa boleh terjadinya insiden-insiden yang mengundang 1000 persoalan. Tidak ramai yang cuba memahami kesulitan yang dihadapi oleh pegawai-pegawai perlawanan ketika mereka membuat keputusan. Dalam perlawanan, pengadil hanya ada masa yang amat singkat untuk melakukan keputusan terhadap apa2 kejadian. Mereka tidak ada “ulang tayang” yang membantu , berbeza dengan kita (lebih2 lagi di hadapan kaca tv) di mana akan ada ulang tayang untuk beri lebih penjelasan terhadap situasi-situasi yang panas.
Bukan itu sahaja, adakalanya mereka juga dipengaruhi tekanan dari para penyokong yang hadir ke stadium. Tidak mudah untuk mengadili sesebuah perlawanan, apatah lagi perlawanan-perlawanan yang berprofil tinggi. Di sini pula jatuh tanggungjawab pembantu-pembantu pengadil untuk melancarkan lagi flow perlawanan.
Disini kita sukar untuk menghormati keputusan yang pengadil lakukan malah kita mengambil jalan mudah untuk menyatakan yang pengadil Liga Malaysia teruk seolah-olah kita tiada pengadilan yang berkualiti. Mungkin salah kita juga sebab tidak cuba memahami betul-betul apa yang terkandung dalam buku peraturan FIFA “Law Of The Game”.
Para pengadil dan pegawai perlawanan ini melalui banyak proses untuk mendapatkan lencana kepengadilan bagi mengendalikan sesebuah perlawanan liga, sudah tentu yang di Kelana Jaya sudah berusaha sehabis baik untuk menyediakan kelompok terbaik dalam kalangan pengadil.
Perkara yang paling penting di sini adalah kita perlu bertimbang rasa dalam melemparkan segala kritikan terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia. Pengadil yang melakukan kesilapan (sudah semestinya tidak disengajakan) akan direhatkan untuk mengukuhkan lagi pemahaman mereka dalam isu kepengadilan. Buat para penyokong pasukan Liga Malaysia, kawallah emosi apabila melibatkan isu mutu pengadilan.
Terimalah hakikat bahawa adakalanya kita juga ada salahnya. Saya percaya masih ada ruang lagi untuk meningkatkan mutu pengadilan bolasepak Malaysia.