Malaysia

5 Sasaran Utama Penyokong Harimau Malaya Untuk Tahun 2017

Harapan baru yang ditagih oleh penyokong Harimau Malaya kepada pasukan kebangsaan melalui pengurusan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia menunjukkan mereka telah memberikan ‘kepercayaan’ untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia.

Kami senaraikan 5 Sasaran Utama Penyokong Harimau Malaya yang sekurang-kurangnya mampu memberikan petanda kebangkitan bola sepak Malaysia sudah mula berlaku.

1) MALAYSIA U15 & MALAYSIA U18 TEMPAH TIKET KE KEJOHANAN AFC U16 & U19 PADA TAHUN 2018

Skuad Malaysia U15 akan menghadapi saingan kelayakan AFC U16 mulai 20 Sept 2017. Mereka diundi dalam group J bersama Jepun, Singapore, Guam manakala skuad Malaysia U18 akan menghadapi saingan kelayakan AFC U19 mulai 31 Okt 2017.

Mereka diundi dalam group F bersama Korea, Timor leste, Brunei dan Indonesia. Di peringkat ini, amat penting untuk skuad muda kita beraksi di peringkat Asia dan seterusnya memasang impian untuk ke Piala Dunia U17 dan U20.

2) MALAYSIA U22 TEMPAH TIKET KE KEJOHANAN AFC U23 2018

Selain sukan SEA, skuad Malaysia U22 berdepan satu lagi tugas penting tahun ini. Mereka akan menghadapi kelayakan AFC U23 mulai 19 Julai 2017.

Skuad Malaysia U22 diundi dalam group H bersama Thailand, Indonesia, dan Mongolia. Kejohanan AFC U23 ini perlu diberi keutamaan berbanding kejohanan Sukan SEA. Untuk rekod, Malaysia belum pernah layak ke kejohanan ini dan pada tahun ini, Malaysia ada peluang terbaik untuk layak.
3) MALAYSIA TEMPAH TIKET KE PIALA ASIA 2019

Malaysia berada dalam group B bersama Lebanon, Korea Utara dan Hong Kong. Cabaran Malaysia dalam Kelayakan Piala Asia 2019 akan bermula pada 8 Jun 2017 menentang Korea Utara.

Ini bermakna hanya tinggal sebulan sahaja lagi sebelum perlawanan pertama kelayakan Piala Asia. Perlawanan kelayakan ini memberi pulangan mata ranking lebih tinggi daripada perlawanan persahabatan.

Jadi, kita mesti menang dan menduduki sekurang-kurangnya tempat kedua dalam group untuk tempah tiket beraksi di Piala Asia 2019.


4) MALAYSIA DAPAT SLOT AUTOMATIK KE AFC CHAMPIONS LEAGUE 2019 & 2020

Selepas JDT berjaya layak ke peringkat semi-final Zonal Asean dalam AFC Cup, secara kiraan kasarnya, Malaysia semakin hampir merampas kedudukan ke 6 AFC MA Ranking Asia Timur dari Hong Kong setakat ini.

Selepas pihak AFC mengemaskini AFC MA Ranking terbaru pada hari ini 5 Mei 2017, Hong Kong masih mendahului Malaysia dengan +0.148 mata. Tugas sekarang adalah untuk memastikan jarak points MA Ranking jauh lebih selesa sehingga hujung November 2017 untuk menerima slot automatik ACL 2019 & 2020.

Hal ini kerana kiraan points MA Ranking diambil 90% daripada prestasi kelab di kejohanan AFC Cup dan 10% daripada prestasi skuad kebangsaan. Harapan kita ialah JDT mara sejauh mungkin dalam kejohanan AFC Cup tahun ini dan skuad kebangsaan memperbaiki kedudukan ranking dunia.


5) SEMUA PASUKAN LIGA SUPER DILESENKAN SEBELUM OKTOBER 2017

Menurut FMLLP, proses perlesenan pasukan liga super sudah mencapai 80% setakat ini. Ini merupakan satu perkembangan yang positif.

Perlesenan pasukan ini amat penting kerana ia merupakan tiket untuk menyertai kejohanan AFC Champions League dan juga AFC Cup mulai tahun depan. Tanpa lesen, mereka tidak boleh menyertai mana-mana kejohanan AFC.

Jadi mentaliti penyokong dan pengurusan kena berubah. Kita perlu target untuk bermain di peringkat Asia dan mara hingga ke peringkat yang tertinggi.

Rumusan

Ini adalah ‘target’ awal untuk jangka masa pendek untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dibawah pengurusan baru serta Football Malaysia LLP untuk membawa perubahan kepada lanskap bola sepak negara.

Penyokong juga perlu memberikan ‘sumbangan’ untuk menjadikan ia sebagai satu realiti kerana semua pihak perlu bergabung dan memerlukan untuk mancapai 1 misi yang sama.