Liga M3 Berita

Melaka bakal dijenamakan semula, bersaing Liga M3 musim depan

Melaka United dijenamakan kepada Melaka FC dan akan bersaing dalam Liga M3 musim depan.

Ini selepas permohonan lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super ditolak oleh MFL.

“Pasukan Melaka FC bakal bersaing mewakili Melaka pada saingan Liga M3, musim depan,” kata Presiden MAFA, Datuk Nur Azmi Ahmad kepada Harian Metro.

“Liga M3 membuka tirai saingan pada Februari 2023 dengan Melaka mempunyai misi kembali ke Liga Super 2024, selain layak beraksi di Piala FA musim depan.

“Jenama tidak penting, tetapi pentadbiran dan pengurusan itu yang perlu diutamakan. Saya percaya jika kualiti pentadbiran kita berjalan lancar, insya-Allah, sasaran untuk kembali ke Liga Super pada 2024 akan tercapai.”

Katanya, walaupun bersaing di liga semi-pro, pihaknya akan memastikan Melaka mempunyai kualiti setanding pasukan Liga Super.

Seramai 4 jurulatih iaitu dua jurulatih luar negara dan dua jurulatih tempatan dipertimbangkan untuk mengendali pasukan Melaka menerusi jawatankuasa teknikal yang akan dilantik bagi bekerjasama dengan jurulatih dalam aspek pemilihan pemain.

“Pada permulaan, penyokong berpeluang menyaksikan perlawanan secara percuma di Stadium Hang Jebat yang menjadi venue perlawanan laman sendiri dengan semua aksi berlangsung pada sebelah malam.

“Bagi memastikan masalah tunggakan gaji tidak berulang, kami menyediakan akaun khas yang diwujudkan khusus untuk memastikan pembayaran gaji pemain berjalan lancar setiap bulan.”