Liga Super Malaysia Berita

Nafuzi belum sedia terima kontrak baharu Terengganu

Nafuzi Zain mengakui beliau belum bersedia untuk membalas surat kontrak baharu yang ditawarkan oleh Terengganu.

Ini selepas Terengganu menyerahkan surat tawaran selama setahun kepada jurulatih berusia 44 tahun itu yang berjaya membantu pasukannya layak ke Piala AFC dan muncul naib juara Piala FA.

“Selepas berakhir saingan Piala Malaysia musim ini baharu saya jawab dan beritahu keputusan mengenai surat tawaran lanjutan kontrak itu,” kata Nafuzi kepada Berita Harian.

“Ini kerana saya mahu fokus 100 peratus kepada pasukan dalam saingan Piala Malaysia terlebih dahulu untuk membantu Terengganu mara ke final.”

Terengganu akan menerima kunjungan finalis Piala AFC, KL City di Kuala Terengganu dengan kelebihan agregat 1-0, Sabtu ini.

Jika menang, Terengganu akan bertemu Selangor atau Negeri Sembilan di separuh akhir Piala Malaysia.